Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yaasin : Siri 26

197 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Surah Yaasin 📓📓
Siri 26

💌 Ayat 77-79: Hujjah Kebenaran Hari Kebangkitan: Rahsia Penciptaan Manusia, Dimatikan dan Dihidupkannya Semula

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

أَوَلَمْ يَرَ الْإِنْسَانُ أَنَّا خَلَقْنَاهُ مِنْ نُطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُبِينٌ – ٧٧

Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),

وَضَرَبَ لَنَا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلْقَهُ ۖ قَالَ مَنْ يُحْيِي الْعِظَامَ وَهِيَ رَمِيمٌ – ٧٨

Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِي أَنْشَأَهَا أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ -٧٩

Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Allah Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);

📖 Tafsir Ringkas:

1. Ayat ini diturunkan untuk memaparkan jawapan dan pelbagai bukti akan kekuasaan Alllah SWT dengan menegaskan bahawa penciptaan manusia adalah amat mudah bagi Allah dengan hanya menciptakannya daripada air mani yang hina, lemah dan kerdil. Namun setelah sempurna kejadiannya, tiba-tiba manusia menjadi pendebat dan pembantah dalam mengingkari hari kebangkitan semula setelah mereka dimatikan.

2. Kemudian Allah SWT menggambarkan sikap degil manusia sehingga sanggup mendatangkan perumpamaan yang aneh demi menolak hari kebangkitan semula, padahal ia lupa asal penciptaannya sedangkan Allah Maha berkuasa menghidupkan kembali semua ciptaanNya hatta yang telah hancur lebur sama sekali. Sebab turun ayat ini sebagaimana yang dinukilkan dalam Tafsir Ibnu Kathir bahawa Al-‘As Ibnu Wa’il atau Abdullah Ibnu Ubay (riwayat lain) mendatangi Rasullah SAW sambil membawa tulang-tulang yang lapuk lalu ia menghancurkannya di hadapan Nabi SAW. Dan berkata: “Wahai Muhammad, apakah tulang ini akan dibangkitkan kembali setelah hancur?” Maka baginda pun menjawab:

“نَعَمْ ، يَبْعَثُ اللَّهُ هَذَا وَيُمِيتُكَ ، ثُمَّ يُحْيِيكَ ، ثُمَّ يُدْخِلُكَ نَارَ جَهَنَّمَ “

“Ya, Allah SWT akan membangkitkannya kembali, kemudian Allah mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali lalu memasukkanmu ke dalam neraka”

Maka turunlah ayat-ayat tersebut hingga ke penghujung Surah Yasin sebagai menjawab kebodohan orang-orang yang engkar dan sombong tersebut.

3. Mereka menganggap mustahil bagi Allah SWT dapat mengembalikan jasad dan tulang-belulang yang telah hancur luluh untuk kembali hidup semula. Mereka lupa akan diri mereka bahawa Allah SWT telah menciptakan mereka daripada tiada menjadi ada dengan mudah sahaja. Bahkan mengulangi kembali penciptaan adalah lebih mudah lagi daripada memulainya.

🎀 Pengajaran:

1. Renungilah betapa kerdilnya hakikat penciptaan kita di muka bumi ini. Bermula dengan setitis air mani yang hina dan setelah ditiupkan roh maka dengan izin Allah kita mampu bergerak dan bertebaran di seluruh pelusuk dunia mengaut segala kemudahan dan kesenangan duniawi. Renungan ini mengajak kita agar tidak angkuh dengan Allah SWT dan tidak berbuat sesuka hati dalam menjalani kehidupan.

2. Sehebat manapun kita sebagai manusia dan sejauh manapun kita melangkah, jangan sekali-kali meremehkan pengisian dan penyuburan jiwa dengan roh tauhid dan amalan-amalan hati. Mungkin kebanyakan daripada kita jelas dengan kejadian kita sebagai manusia cuma adakalanya kita terleka dan dihasut syaitan sehingga kita merasakan diri kita hebat, melupakan siapa yang menjadikan kita hebat dan akhirnya sanggup mempertikaikan kekuasaan Allah SWT dan mengingkari suruhan Rasulullah SAW.

3. Lihatlah kehidupan manusia hari ini, apabila harta dan pangkat diutamakan maka agama itu longgar dan semakin menghilang. Terlalu banyak fenomena dan penyataan yang memutarbelitkan agama dan sekaligus menjadi fitnah terhadap agama itu sendiri. Inilah sebenarnya kaedah moden yang sangat halus untuk menjauhkan manusia agar tidak ingat mati dan tak merasa gerun pada hari kebangkitan semula untuk perhitungan amal.

4. Letakkanlah dalam hati bahawa Allah Yang Berkuasa atas segala sesuatu. Moga dengan itu segala kehidupan kita akan lebih diberkati lagi diredhai.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
28 Disember 2018_ / _20 Rabiul Akhir 1440