Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yaasin : Siri 25

102 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Surah Yaasin 📓📓
Siri 25

💌 Ayat 74-76: Golongan Manusia Yang Ingkar Walaupun Telah Diberi Pelbagai Nikmat

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

وَاتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ آلِهَةً لَّعَلَّهُمْ يُنصَرُونَ – ٧٤
Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, (dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu).

لَا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَهُمْ وَهُمْ لَهُمْ جُندٌ مُّحْضَرُونَ – ٧٥
Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.

فَلَا يَحْزُنكَ قَوْلُهُمْ ۘ إِنَّا نَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ – ٧٦
Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.

📖 Tafsir Ringkas:

1. Walaupun Allah SWT telah mengurniakan pelbagai nikmat kepada manusia, namun orang-orang kafir masih juga engkar kepadaNya. Mereka tergamak mengambil selain Allah sebagai tuhan dan berharap tuhan itu akan menolong mereka sama ada dengan memberikan rezeki atau menjadi perantaraan di antara mereka dengan Allah.

2. Harapan yang disandarkan kepada sembahan-sembahan itu adalah sia-sia kerana tiada pertolongan apa pun yang dapat diberikan. Bahkan semua sembahan itu akan dihadirkan bersama-sama para pengikut mereka sebagai tentera yang akan dibicarakan di mahkamah Allah dan diberi balasan azab.

3. Seterusnya Allah SWT memujuk Nabi Muhammad SAW agar tidak berdukacita dengan segala kata-kata, tuduhan dan cemuhan yang dilemparkan oleh orang-orang kafir kepada Baginda kerana Allah sendiri mengetahui segala hakikat yang tersembunyi dan yang nyata daripada ucapan mereka.

🎀 Pengajaran:

1. Sentiasa berwaspada dengan sebarang bentuk kesyirikan yang tidak disedari yang menyusup dalam kehidupan hari ini seperti hawa nafsu, wang ringgit, jawatan dan kuasa. Semua ini adalah sembahan-sembahan dunia yang cuba mengalih keyakinan kita daripada mengejar matlamat redha Allah sehingga ada yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkannya dengan meninggalkan syariat Allah.

2. Janganlah kita meletakkan sandaran pergantungan harapan dan mengharapkan pertolongan daripada apa jua kuasa selain Allah kerana ia adalah sia-sia. Sentiasalah menanamkan kepercayaan dan keyakinan bahawa hanya Allah sahaja tempat pergantungan kita dalam segala urusan.

3. Seiring dengan peredaran zaman yang penuh cabaran, kita mesti menguatkan keimanan dan berjuang bagi membebaskan diri daripada sebarang dan pengaruh yang disebut sebagai berhala-berhala moden yang berupa ideologi sesat seperti komunisme, sekularisme, liberalisme, plurisme, femanisme dan sebagainya agar kita tidak terseret bersama-sama dengan kesesatan tersebut ke dalam azab neraka Allah.

4. Sebagai pendakwah yang menyambung perjuangan Rasulullah SAW, janganlah kita cepat berasa ragu, kecewa dan bersedih disebabkan kejian, cemuhan dan sindiran yang dilemparkan terhadap kita. Sebaliknya, kita sepatutnya berasa lebih yakin dan bersemangat untuk terus berjuang kerana kita juga telah menjejaki jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW dan para perjuang lain yang mendahului kita.

📚 Rujukan:
Tafsir Surah Yaasin

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
21 Disember 2018/ 13 Rabiul Akhir 1440