Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Yaasin Siri 21

54 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Surah Yaasin 📓📓
Siri 21

💌 Ayat 63-65 : Azab Neraka untuk Golongan yang Derhaka

🖋 Firman Allah serta terjemahannya :

هَذِهِ جَهَنَّمُ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ – ٦٣

Apakah yang kamu saksi sekarang ialah Neraka Jahanam yang selalu diancam (memasukinya jika kamu tidak mentaati perintah Allah)

اصْلَوْهَا الْيَوْمَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ -٦٤

Rasakanlah bakarnya pada hari ini disebabkan kekufuran yang telah kamu lakukan

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ – ٦٥

Pada waktu itu, kami mengunci mulut mereka. Tangan-tangan mereka memberitahu kami (kesalahan masing-masing), kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

📖 Tafsir Ringkas :

1. Setelah diasingkan posisi orang-orang yang berdosa daripada orang-orang yang soleh, maka pada ayat 63 ini, Allah SWT menjelaskan nasib para pendosa serta orang-orang yang sesat bahawa tempat mereka adalah kawah neraka Jahanam. Inilah yang mereka perolok-olokan ketika di dunia dahulu.

2. Allah meneruskan lagi penjelasan azab neraka tersebut dan membayangkan penyesalan mereka dengan beberapa isyarat dari tiga sisi:

a) Kalimah اصلوها adalah perintah yang bermakna malapetaka dan penghinaan.

b) Kalimah اليوم pula menunjukkkan azab telah tiba, masa kesenangan telah berlalu.

c) Kalimah وما كنتم تكفرون memberi pengertian tentang sikap kufur atas nikmat yang agung.

3. Pada ketika itu, tangan dan kaki mereka mengungkapkan segala perbuatan yang pernah mereka lakukan di atas dunia sebelum ini.

🎀 Pengajaran :

1. Dunia adalah medan pertarungan dan pemilihan. Pilihlah untuk berjuang bersama kebenaran dan beramal soleh. Sesiapa yang engkar dan memilih petunjuk syaitan, akan dimasukkan ke dalam neraka Jahanam.

2. Betulkan niat dan ikhlas hati dalam beramal kerana setiap perbuatan sama ada baik atau buruk, terang atau sunyi akan diberikan balasan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.

3. Sentiasalah membuat pertimbangan untuk melakukan apa sahaja dengan berpandukan syariat dari al-Quran dan petunjuk nabi dari sunnahnya sebelum kita ditimbang di hadapan mahkamah Allah di mana tangan-tangan dan kaki-kaki akan menjadi saksi terhadap segala perbuatan yang telah dilakukan di atas dunia.

4. Wujudkan waktu tertentu dalam sehari kehidupan kita untuk bermuhasabah diri tentang apa yang telah kita lakukan. Bertaubatlah jika ada yang menyimpang dan tersasar dari ketaatan kepada Allah dan jika ada yang lagha dan sia-sia. Padamkan terus dari catatan hidup kita. Takutilah dosa yang bertimbun sehingga hati sudah tidak ada rasa bersalah melakukannya. Sedangkan nyalaan api neraka sudah Allah sediakan buat pendosa yang degil dan enggan untuk bertaubat.

📚 Rujukan :
Tafsir Al-Munir, Jilid 12

Disusun oleh :
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
23 November 2018 / 15 Rabiul Awal 1440