Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah As-Sajdah : Siri 9

90 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Surah As-Sajdah 📓📓
Siri 9

Ayat: 18-19: Perbezaan posisi orang mukmin dan fasiq di akhirat

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

أَفَمَنْ كَانَ مُؤْمِنًا كَمَنْ كَانَ فَاسِقًا ۚ لَا يَسْتَوُونَ – ١٨

Maka apakah orang yang beriman sama dengan orang yang fasiq? Mereka tidak sama.


أَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ جَنَّاتُ الْمَأْوَىٰ نُزُلًا بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ – ١٩

Adapun orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka syurga sebagai tempat kediaman, sebagai pahala bagi apa yang telah mereka kerjakan.

📖 Tafsir ringkas:

1. Allah SWT menceritakan tentang keadilan dan kemuliaan-Nya, bahawa di hari kiamat kelak Dia tidak akan menyamakan keputusan-Nya antara orang yang beriman dan orang yang fasiq.

2. Golongan fasiq ialah mereka yang berdosa dan kadang-kadang merujuk kepada orang yang kufur. Golongan fasiq yang dimaksudkan di sini ialah yang keluar dari jalan ketaatan lagi mendustakan Rasul yang diutus kepada mereka. Golongan ini malah mendakwa amal kebaikan mereka akan juga menerima nikmat ganjaran di akhirat. Tidak sama sekali kerana asas pemberian nikmat di akhirat adalah beriman kepada Allah.

3. Bagi orang yang beriman, Syurga Ma’wa menunggu ketibaan mereka. Di dalamnya tersedia segala bentuk kenikmatan, kelazatan dan keinginan sebagai balasan bagi apa yang telah mereka kerjakan di dunia.

4. Sesungguhnya kedudukan dan tempat orang-orang fasiq berlainan sekali dengan kedudukan dan tempat orang-orang yang beriman.

🎀 Pengajaran:

1. Kita hendaklah meyakini Allah itu Maha Adil dan akan memberi balasan secara adil, tidak seperti mahkamah di dunia yang kadangkala tidak berlaku adil. Keadilan menurut neraca duniawi tidak sama hakikatnya dengan apa yang diputuskan oleh syariat Islam.

2. Kita hendaklah meyakini Allah menepati janji sebagaimana janji-Nya bagi hamba yang beriman dan beramal soleh di dunia akan mendapat ganjaran di akhirat. Oleh yang demikian orang yang beramal kerana yakin dengan janji Allah adalah orang-orang yang telah mencapai tahap keimanan _haqqul yaqin_. Iman _haqqul yakin_ inilah yang sepatutnya dipupuk dan dimantapkan ke dalam jiwa melalui pencarian ilmu, mujahadah dan penyucian hati.

3. Sentiasalah merenung apakah nasib dan posisi kita kelak di sisi Allah. Al-Quran sudah menjelaskan bahawa mereka yang fasiq juga akan mendapat balasan yang setimpal atas kefasikan mereka di dunia dan Allah tidak akan memungkiri janji. Tentulah mereka tidak sama. Mereka hidup dengan cara yang berlainan dan berlawanan dengan mukmin yang taat. Maka balasan yang dikenakan kepada mereka pun tentulah tidak sama. Oleh itu jagalah amalan, tindakan serta pemikiran kita agar tidak bercampuk aduk dengan amalan dan pemikiran orang-orang yang fasiq.

4. Pilihlah cara hidup Islam kerana ia membezakan cara hidup orang mukmin dan orang fasiq. Ia amat berbeza sekali. Jauhi amalan bid’ah, budaya pelik dan menyimpang serta pemikiran asing yang tidak bertepatan dengan ruh Islam kerana perkara inilah yang mencorak tindakan dan kehidupan kita serta akan menentukan kedudukan kita di akhirat kelak.

5. Jangan cepat kalah dengan kepenatan hidup. Al-Quran mengingatkan kita bahawa kita hendaklah beramal untuk mendapat kebaikan di akhirat, bukan dengan duduk bersenang lenang sahaja di dunia. Justeru itu pastikan kita membuat amalan kebaikan, kerana hasilnya akan kita tuai di suatu tempat istirehat yang memberi rasa tenang dan selesa iaitu di syurga. Penghuni syurga akan mendapat segala kenikmatan di dalam syurga setelah mereka berusaha dan bersusah payah melakukan amal soleh selama mereka hidup di dunia. Syurga itulah ganjaran atas ketaatan mereka kepada Allah.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
15 Mac 2019 / 8 Rejab 1440