Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al Waqi’ah : Siri 5

127 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah Al Waqi’ah: Siri 5

Ayat: 11-14 : Siapakah Golongan al-Sabiqun?

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

أُولَئِكَ الْمُقَرَّبُونَ – ١١
Mereka itulah orang yang dekat (kepada Allah)

فِي جَنَّاتِ النَّعِيمِ – ١٢
Berada dalam syurga kenikmatan,

ثُلَّةٌ مِنَ الأوَّلِينَ – ١٣
Segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu.

وَقَلِيلٌ مِنَ الآخِرِينَ – ١٤
Dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian

📖 Tafsir ringkas:

1. Ayat ini menjelaskan lagi siapakah golongan al- sabiqun yang disebut pada ayat sebelumnya. Mereka juga digelar dengan al-muqarrabun yang diambil dari kalimah (قرب) iaitu dekat. Maka al-muqarrabun di sini ialah golongan yang didekatkan di sisi Allah. Di Mahsyar nanti, mereka duduk dekat dengan Allah sebagai penghormatan untuk mereka. Di dunia mereka berusaha mengamalkan tauhid dan ajaran sunnah. Bahkan mereka juga adalah golongan yang sering berlumba-lumba dan bersegera dalam melaksanakan perbuatan baik yang diperintahkan ke atas mereka. Mereka juga melalui pelbagai rintangan dan kesusahan untuk mengamalkan ajaran Islam dan kerana itulah Allah memberikan kedudukan yang tertinggi buat mereka.

2. Menurut Dr Wahbah Al Zuhayli, golongan ini adalah mereka yang ketika di dunia berlumba-lumba dalam menyempurnakan keimanan, iaitu dengan keikhlasan, berjihad, melakukan amalan-amalan baik dan amalan-amalan yang soleh. Di dunia mereka saling berlumba dalam kebaikan, maka di akhirat mereka mendapatkan keredhaan Allah.

3. Kemudian Allah SWT menerangkan apakah kelebihan yang akan didapati oleh golongan ini. Mereka akan ditempatkan di dalam kebun-kebun syurga yang penuh nikmat di dalamnya. Syurga adalah tempat untuk menikmati pemberian Allah sahaja. Dan kalimah النَّعيمِ bermaksud ianya adalah nikmat yang sempurna. Ianya adalah tempat rehat, bukan tempat untuk bekerja. Tidak ada ibadat lagi di dalam syurga.

4. Seterusnya Allah SWT menjelaskan bahawa golongan as-sabiqun ini amat sedikit. Sebahagian besarnya adalah dari golongan terdahulu dan sebahagian kecil dari golongan yang terkemudian. Maksud golongan terdahulu adalah mereka yang mula-mula menerima ajaran Islam dan mempertahankannya. Nabi SAW pernah bersabda: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun setelahnya, dan kemudian kurun setelahnya.”

5. Walau bagaimanapun, golongan as-sabiqun bukan hanya terdiri daripada orang terdahulu sahaja bahkan ada sedikit dari golongan terkemudian. Orang-orang terkemudian ini adalah mereka yang selepas kewafatan Rasulullah SAW terus menyebarkan agama Islam dan mempertahankannya.

🎀 Pengajaran:

1. Untuk mencapai tahap al-muqarrabun memerlukan usaha yang jitu. Hanya orang yang bersungguh-sungguh menerima, menyampaikan dan mempertahankan ajaran Islam sahaja yang diberikan kedudukan yang hampir di sisi Allah. Justeru itu, kita hendaklah sentiasa memperbaiki diri, dan bersegera untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT dalam rangka mendekatkan diri kepadaNya

2. Di akhir zaman ini, begitu banyak usaha untuk menjauhkan umat daripada berpegang teguh dengan agama. Ada sahaja usaha-usaha yang menyusup tanpa sedar yang meracuni pemikiran umat ini termasuk pemikiran liberalisme, hedonisme dan sebagainya yang semakin menular di kalangan masyarakat kita. Sebagai umat Islam, kita seharusnya membentengi diri kita dengan ajaran akidah yang benar supaya tidak terpengaruh dengan agenda musuh Islam.

3. Untuk menjadi sebahagian daripada golongan al-sabiqun di akhir zaman ini bukanlah mudah. Kerana itu Allah menyebut “hanya sedikit dari umat terakhir.” Namun, janganlah kita merasa sedih dan lemah dan tetaplah istiqamah dalam beribadah, beramal, menyampaikan dakwah dan mempertahankan Islam sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Masih akan terus ada sekelompok orang dari umatku yang menegakkan kebenaran, mereka tidak akan dicelakakan oleh orang yang menghinakan mereka dan tidak juga orang yang menentang mereka sampai hari Kiamat.”

4. Sesungguhnya di dunia ini adalah tempat untuk kita berpenat-lelah dan yakinlah yang Allah telah menjanjikan ganjaran syurga yang terindah dan dipenuhi dengan nikmat yang tak terjangkau dek akal kita. Di situlah tempat untuk kita bersenang-lenang dan berehat.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Al-Wajiz, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
10 Mei 2019 / 5 Ramadhan 1440