Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadhan (Siri 07/1439H)

81 views
SHARE

Surah Al-Maidah: Ayat 90 – 93: Pengharaman Arak, Judi & Menilik Nasib

Firman Allah serta terjemahannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (٩٠)

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamr (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kalian mendapat keberuntungan.

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ (٩١)

Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kalian lantaran (meminum) khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kalian daripada mengingati Allah dan solat; maka berhentilah kalian (daripada mengerjakan pekerjaan itu).

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَاحْذَرُوا فَإِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّمَا عَلَى رَسُولِنَا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ (٩٢)

Dan taatlah kalian Allah taatlah kalian kepada Rasul-(Nya) dan berhati-hatilah. Jika kalian berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.

لَيْسَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جُنَاحٌ فِيمَا طَعِمُوا إِذَا مَا اتَّقَوْا وَآمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ ثُمَّ اتَّقَوْا وَآمَنُوا ثُمَّ اتَّقَوْا وَأَحْسَنُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (٩٣)

Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan yang soleh kerana memakan makanan yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa serta beriman, dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka (tetap juga) bertakwa dan berbuat kebajikan. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Tafsir ringkas:

1. Ayat 90 menyatakan dengan jelas bahawa khamr (arak) itu adalah haram. Nabi S.A.W. bersabda: ‘Setiap yang memabukkan adalah khamr, dan setiap yang memabukkan adalah haram.

2. Begitu juga dengan maisir (berjudi). Ibnu Abu Hatim mengatakan bahawa segala sesuatu yang menggunakan taruhan dinamakan judi.

3. Perkara ketiga yang dilarang ialah penyembahan patung berhala atau benda-benda yang dipuja.

4. Azlam pula ialah menilik nasib atau mencari untung nasib dengan mencampakkan benda. Asal azlam ialah anak-anak panah yang tidak diberi bulu keseimbangan dan tidak diberi hujung). Ia alat yang biasa dipakai untuk mengundi nasib. Mereka gunakan anak panah itu sebagai cara untuk membuat keputusan pemilihan.

5. Kesemua perbuatan ini adalah rijsun(dosa) yang dimurkai Allah & termasuk dalam perbuatan syaitan. Kita hendaklah menjauhi kesemua perbuatan yang jelas haram ini. Ia tidak boleh dihalalkan dengan apa jua cara.

6. Dalam ayat 91, syaitan sangat ingin membuat manusia berbalah-balah & berbencian dengan menggunakan arak & judi. Apabila minum arak, fungsi akal yang sihat akan hilang. Berjudi pula menyebabkan kehilangan harta. Natijahnya kedua-dua perbuatan ini merosakkan diri dan masyarakat. Malah manusia juga jadi lupa untuk mengingati Allah dan solat.

7. Ayat 92 menyatakan Rasulullah SAW sebagai penyampai hukum Allah. Hukum ini adalah daripada Allah dan kita WAJIB mentaatinya.

8. Ayat 93 pula mengenai seseorang yang dahulunya tidak beriman. Apabila seseorang itu telah masuk Islam, amalan salah atau makanan haram yang dimakan sebelumnya tidaklah dikira dosa kerana mereka melakukannya dalam keadaan jahil. Allah memaafkannya.

Pengajaran

1. Jauhilah apa sahaja yang berkaitan dengan arak. Ia tetaplah haram walau diberi pelbagai nama seperti bir, tuak dan lain-lain. Jangan terkeliru dengan hujah songsang yang mengatakan boleh minum arak asalkan tidak mabuk dan tidak dikira haram.

2. Umat Islam perlu berhati-hati dengan pelbagai nama yang digunakan atas dasar perjudian seperti main tikam, sabung ayam, loteri kebajikan, pertandingan, mencuba nasib dan cabutan bertuah. Apapun nama jika untuk menyertainya dimestikan membayar sejumlah wang / benda yang akan akan digunakan sebagai hadiah kepada pemenang tetaplah dikira judi.

3. Berusaha mengelak dari menggantung gambar-gambar tokoh kerana dibimbangi kita akan menghormati atau memujanya secara berlebih-lebihan lantas membawa kepada penyembahan yang menjejaskan akidah.

4. Percaya kepada menilik nasib bermakna kita tidak mempercayai qada dan qadar Allah.

5. Fahamilah bahawa makna larangan Allah bukan sekadar menyuruh kita meninggalkan perbuatan yang dilarang malah Allah juga menyuruh kita menjauhi segala laranganNya ini. Kita sepatutnya bukan sahaja tidak boleh minum arak, malah jangan mendekati tempat yang menghidangkan arak atau berkaitan dengannya. Tidak berjudi juga bermaksud jangan terlibat dengan apa-apa yang berkaitan judi seperti bekerja dengan institusi berkaitan.

6. Kekalkan diri dalam mode taqwa, iaitu bertegas bab halal haram. Setiap perkara dalam kehidupan kita ada halal haramnya. Wajiblah kita taat hukum Allah ini dan menjaga diri daripada terjerumus ke dalam perkara / perbuatan yang haram.

7. Sedari kelemahan diri. Walaupun sudah berusaha menjaga batasannya, kekadang kita alpa. Namun Allah Maha Pengampun Maha Pemaaf. Mohonlah taubat dan keampunan. Walau apapun hukum Allah yang kita langgar, apabila kita beriman dan bertakwa Allah akan ampunkan semuanya dengan taubat yang sebenar.

8. Pihak berkuasa bertanggungjawab mewujudkan, melulus dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan larangan arak, judi, tilik nasib, pemujaan dan sebagainya ke atas orang Islam. Penguatkuasaan undang-undang dan hukuman bukanlah semata-mata utk menghukum pesalah tetapi juga sebagai usaha mendidik masyarakat Islam agar menjauhi larangan Allah.

Rujukan: Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
7 Ramadhan 1439 / 23 Mei 2018