Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Ramadan 28 : Larangan Memberi Kepercayaan kepada Musuh Allah

50 views
SHARE

📓 📓 Tadabbur Ramadan 📓 📓
Siri 28/1439H

Surah Al-Mumtahanah Ayat 1-3: Larangan Memberi Kepercayaan kepada Musuh Allah

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَنْ تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ إِنْ كُنْتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي ۚ تُسِرُّونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنْتُمْ ۚ وَمَنْ يَفْعَلْهُ مِنْكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ ١

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredhaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.

إِنْ يَثْقَفُوكُمْ يَكُونُوا لَكُمْ أَعْدَاءً وَيَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ وَأَلْسِنَتَهُمْ بِالسُّوءِ وَوَدُّوا لَوْ تَكْفُرُونَ ٢

Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka).

لَنْ تَنْفَعَكُمْ أَرْحَامُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ ۚ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَفْصِلُ بَيْنَكُمْ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ٣

Kaum kerabat kamu dan anak-anak kamu (yang tidak menurut kamu beriman) tidak sekali-kali akan mendatangkan sebarang faedah kepada kamu pada hari kiamat; Allah akan memisahkan di antara kamu semua (pada hari itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat segala yang kamu kerjakan.

📖 Tafsir ringkas:

1. Allah SWT menyeru orang-orang beriman agar jangan sekali-kali mengambil, mempercayai dan melantik musuh-musuhNYa sebagai wali-wali iaitu penolong atau rakan sekutu kepada orang-orang beriman dan segala urusannya. Allah juga menyatakan dengan satu peringatan yang tegas pada hujung ayat ini bahawa siapa yag berjihad untuk mencari keredhaan-Nya maka tidak boleh berteman dan berkasih mesra dalam urusan menegakkan agama dengan orang-orang musyrik.

2. Musuh-musuh Allah terdiri dari golongan musyrik, kafir, munafik dan penentang agama Allah SWT. Manakala musuh Allah yang nyata adalah orang-orang yang kafir.

3. Auliya atau wali-wali pula yang disebut dalam ayat ini bukanlah sekadar merujuk kepada penolong kerana perkataan ini dalam bahasa Arab boleh membawa maksud pemimpin, pemuka, sahabat karib dan orang yang melindungi. Pemimpin negeri juga dipanggil wali, begitu juga ayah yang mengahwinkan anak perempuannya. Kesimpulannya, ia membawa erti yang luas, mencakupi pembelaan, pertolongan dan perlindungan.

4. Jumhur ulama tafsir sepakat mengatakan bahawa sebab turun ayat ini ialah berkaitan peristiwa yang berkaitan dengan seorang sahabat yang bernama Haathib b. Abu Baltha’ah.

i. Haathib telah mengirimkan surat kepada kaum musyrikin di Makkah memberitahu bahawa tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW akan menyerbu Makkah. Lalu, beliau mengirimkan surat dengan niat ingin mendapatkan perlindungan buat keluarganya yang berada di Makkah.

ii. Akibat perbuatannya itu, Haathib tanpa sengaja telah membina hubungan dan membuka rahsia kepada musuh, dan sekaligus mengambil musuh sebagai wali, iaitu orang tempat ditumpahkan kepercayaan, sedangkan telah nyata penduduk Makkah akan diperangi dan mereka masih menentang Islam. Perbuatan ini berbahaya kerana musuh Allah sudah terang-terang menolak dan tidak mahu percaya kepada segala ajakan dan seruan kebenaran.

5. Dalam ayat kedua jelas menggambarkan, walaupun orang beriman memecahkan rahsia atas dasar cinta mereka tetap akan menjadi musuh. Hal ini kerana seandainya orang musyrik menang dalam peperangan tersebut maka mereka tidak akan bersahabat atau membela orang yang beriman yang membantu mereka. Al-Maraghi dengan jelas menyatakan dalam tafsirnya bahawa akan berlaku 3 keadaan seandainya kemenangan berpihak kepada kaum musyrik:

i) Mereka akan menjadi musuh;

ii) Mereka akan menggunakan tangan dan lidah untuk menyakiti mu’minin secara fizikal dan emosi;

iii) Mereka menginginkan kekafiran terhadap orang beriman.

Syed Qutb dalam tafsirnya menjelaskan bahawa keadaan yang ketiga paling teruk. Hal ini kerana, perkara itu bagi setiap mukmin lebih keras dan menyakitkan daripada penyeksaan lain samada tangan dan lisan daripada orang kafir. Musyrikin menginginkan kerugian terbesar dalam hal yang paling dicintai orang beriman.

Prof Dr. Hamka pula memberi satu konklusi bahawa ayat ini secara langsung menggambarkan akibat yang bakal ditanggung orang beriman seandainya kalah dalam peperangan.

6. Hujung ayat 3 adalah peringatan bagi orang-orang yang beriman agar menjaga zahir dan batinnya, terutama tentang keluarga. Disuruh berbuat baik dengan keluarga walaupun mereka masih kafir. Tetapi jangan sesekali mengadaikan prinsip Islam dan merugikan perjuangan. Maka, jika pegangan hidup antara ahli keluarga sudah berbeza, mempertahankan aqidah dan kepercayaan itu lebih utama berbanding mempertahankan keluarga. Contohnya, telah terpisah antara anak yang beriman iaitu Abu Bakar dengan ayahnya yang masih musyrik, iaitu Abu Quhafah. Begitu juga ayah yang beriman Abu Bakar dengan anaknya yang masih musyrik iaitu Abdurrahman bin Abu Bakar.

🎀 Pengajaran:

1. Musuh Allah yang kuffar, musyrik dan munafik yang terang-terangan menentang Islam, jangan dijadikan penolong atau pemimpin kerana mereka sama sekali tidak pernah menerima kebenaran yang dibawa bahkan menentang pelaksanaannya.

2. Tidak boleh mendedahkan perancangan atau strategi kepada musuh Islam kerana dikhuatiri berlakunya pengkhianatan dan pembelotan terhadap Islam yang menyebabkan kerugian dan kekalahan pada Islam dan perjuangannya.

3. Menjaga survival perkembangan Islam lebih utama daripada mementingkan ahli keluarga yang kafir tetapi hubungan baik sesama ahli keluarga mesti diteruskan, asalkan tidak menggadaikan prinsip Islam.

4. Dalam konteks politik Islam dan pemerintahan negara, diperintahkan memilih pemimpin Islam yang boleh menjaga prinsip Islam.

5. Islam menyeru kepada perdamaian dan perpaduan insan. Apa sahaja bentuk interaksi baik dan kerjasama sesama manusia adalah amalan terpuji ditambah dengan sikap saling menghormati dan saling mengiktiraf prinsip masing-masing tanpa paksaan dan penuh harmoni. Namun apabila sudah tercabut perasaan hormat dan berlaku pengkhianatan dalam urusan agama dan perjuangan Islam, seharusnya umat Islam berlepas diri dari ikatan kerjasama tersebut.

📚 Rujukan:
Tafsir Al-Azhar
Tafsir Fi Zilalil Quran
Tafsir al-Maraghi

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
13 Jun 2018 / 29 Ramadhan 1439