Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Waqi’ah : Siri 23)

91 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah Al-Waqi’ah: Siri 23

Ayat: 77-80 : Kebesaran Al-Quran

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

إِنَّهُۥ لَقُرْءَانٌ كَرِيمٌ – ٧٧

Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan)

فِى كِتَٰبٍ مَّكْنُونٍ – ٧٨

Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara

لَّا يَمَسُّهُۥٓ إِلَّا ٱلْمُطَهَّرُونَ – ٧٩

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci

تَنزِيلٌ مِّن رَّبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ – ٨٠

Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam

📖 Tafsir ringkas:

1. Setelah bersumpah dengan orbit bintang-bintang, maka pada ayat ini Allah SWT menjawab sumpahNya kerana apabila Allah SWT bersumpah bermakna ada perkara penting yang hendak disampaikan. Perkara penting yang hendak ditegaskan ialah bahawa Al-Quran yang mulia akan diturunkan untuk menjadi bintang petunjuk bagi manusia. Al-Quran ibarat manual kehidupan manusia untuk meraih jalan bahagia, ditunjukkan halal dan haram dan mana yg disukai Allah dan mana yg dimurkai-Nya.

2. Seterusnya diperjelaskan lagi kedudukan Al-Quran dan sifat-sifatnya iaitu:

i. Ia adalah kalam Allah yang terpelihara (maknun) iaitu terpelihara dengan penuh kebesaran, terpelihara dan sangat dihormati dan tempat memeliharanya itu, ialah di Luh Mahfuz. Inilah tempat simpan Al-Quran sebelum diturunkan ke langit dunia. Allah turunkan Al-Quran ke langit dunia pada malam Qadr. Kemudian dari langit dunia, Allah turunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad SAW yang mengambil masa 23 tahun.

ii. Ia adalah kitab yang suci dan tinggi. Orang yang dapat mencapai tempat yang tinggi lagi mulia dan memberi petunjuk itu bukanlah sebarangan orang melainkan orang yang diiktiraf sebagai golongan yang disucikan olehNya. Ulama tafsir mengatakan mereka yang disucikan itu ialah tangan para malaikat yang mulia serta golongan yang Allah sucikan mereka daripada aib-aib dan dosa-dosa dan tidak disentuh juga kecuali oleh orang-orang yang menyucikan diri daripada syirik, junub dan hadath. Oleh kerana itu, ada yang berpendapat, bahawa ayat ini meskipun bentuknya berita, namun terdapat larangan, iaitu tidak boleh menyentuh Al-Qur’an kecuali orang yang suci.

iii. Al-Quran ini turunnya daripada Allah SWT. Turun dari maqam Ilahi yg paling mulia ke atas dunia ini untuk menjadi bimbingan dan pimpinan bagi orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk mengimaninya. Al-Quran bukanlah seperti yang didakwa oleh orang kafir bahawa ia merupakan sihir, perdukunan atau syair. Ia merupakan kebenaran yang tidak mengandung sebarang keraguan sedikit pun.

🎀 Pengajaran

1. Al-Quran yang diturunkan kpd Nabi Muhammad SAW benar-benar kitab yang agung. Oleh yang demikian sebagai manusia yang berakal maka hendaklah kita sanjung dan muliakannya. Janganlah kita memandangnya sebelah mata sahaja. Malangnya ramai yang salah faham. Mereka sangka memuliakan Al-Quran itu adalah dengan menatangnya letak di tempat tinggi dan jenis-jenis sanjungan dan penghormatan yang lain. Ramai yang hanya menyimpan Al-Quran di dalam almari dengan kemas sekali tanpa membacanya serta mengambil petunjuk yang terdapat di dalamnya.

2. Al-Quran ini kena dipelajari. Bukan sahaja belajar membacanya tapi hendaklah belajar memahami maksudnya serta menekuni dengan pelbagai cara terutama memperdalami selok belok tafsir Al-Quran. Kita wajib meluangkan masa yang banyak untuk mempelajarinya kerana ia adalah suatu manual yang sangat penting bagi memacu kehidupan kita menuju redha Allah SWT.

3. Al-Quran adalah kitab yang dimuliakan dan diagungkan yang tersimpan lagi terpelihara di Lauh Mahfuz. Allah pelihara Al-Quran ini dengan hebat sekali, maka ia bukanlah sesuatu yang boleh diremehkan. Jangan kita mendengar Al-Quran ini dengan sambil lewa sahaja. Yang lebih malang lagi Al-Quran dijadikan bahan persendaan, ahli Al-Quran dicemuh dan dihina dan yang menghafaz Al-Quran dipandang rendah dan tempat terakhir dalam kedudukan bermasyarakat, sedangkan mereka hafiz Al-Quran yang bermaksud penjaga. Sepatutnya kita ada niat untuk menghafaz Al-Quran dan berazam untuk menghabiskan pembacaan tafsir Al-Quran 30 juzuk demi memahami betul-betul apa pesanan Allah SWT dalam kitab suci itu.

4. Jagalah adab-adab kita dengan Al-Quran. Selaklah pengalaman- pengalaman para sahabat dan para ulama bagaimana mereka sangat memuliakan Al-Quran dan interaksi mereka cukup intim dan menakjubkan ketika mereka berdamping dengan Al-Quran.

📚 Rujukan:
Tafsir Al-Azhar, Prof. HAMKA
Tafsir Al-Wajiz, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
28 Mei 2019 / 23 Ramadhan 1440