Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 36/2018

122 views
SHARE

📓 *Tadabbur Al Quran* 📓
_Siri 36/2018_

*SURAH AL KAHFI: BALASAN DI AKHIRAT BAGI GOLONGAN YANG RUGI DAN GANJARAN BAGI GOLONGAN YANG BERAMAL SOLEH: 103-108*

🖋 *Firman Allah SWT serta terjemahannya:*

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالاً (١٠٣)

_Katakanlah: “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?”_

الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعاً (١٠٤)

_Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya._

أُولَئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْناً(١٠٥)

_Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia, maka hapuslah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat._

ذَلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُواً(١٠٦)

_Demikianlah balasan mereka itu neraka Jahannam, disebabkan kekafiran mereka dan disebabkan mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan rasul-rasul-Ku sebagai olok-olok._

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا(١٠٧)

_Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal._

خَالِدِينَ فِيهَا لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلا (١٠٨)

_Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah darinya._

📖 *Tafsir Ringkas:*

1. Dalam ayat-ayat di atas, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW agar menyampaikan amaran peringatan tentang golongan yang rugi (ayat 103-106) dan berita gembira kepada golongan yang beriman (ayat 107-108).

2. Golongan yang rugi itu, mereka beramal dengan amal yang menurut sangkaan mereka adalah baik dan akan diterima, sedangkan amalan tersebut salah dan tidak pun diterima dalam timbangan amal mereka. Balasan untuk mereka adalah neraka Jahannam kerana kekafiran mereka dan menjadikan ayat-ayat Allah SWT dan rasul-rasul-Nya sebagai olok-olokan.

3. Allah SWT menceritakan tentang hamba-hamba-Nya yang berbahagia. Mereka adalah orang-orang yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta membenarkan para rasul tentang apa yang disampaikan oleh mereka. Orang-orang yang demikian itu mendapat syurga Firdaus, mereka tidak ingin berpindah darinya, tidak ingin pula pergi meninggalkannya atau menggantinya dengan tempat yang lain.

🎀 *Pengajaran:*

1. Penting untuk kita beramal dengan amal dan cara yang diredhai Allah dan diterima syariat supaya amal tersebut tidak sia-sia dan diterima.

2. Kita sama sekali tidak boleh menolak ayat-ayat Allah, bukti-bukti keEsaanNya, risalah oleh rasul-rasulNya dan kewujudan hari akhirat.

3. Kita haruslah berkawan serta berdamping dengan orang-orang berilmu dan soleh, supaya dapat memimpin kita ke jalan yang benar.

4. Selalulah muhasabah diri dan periksa amalan kita, adakah sudah mengikut syarat-syarat sah amalan dan juga dilakukan dengan keikhlasan kerana Allah Ta’ala.

5. Pastikan setiap tindakan dan kerja yang kita lakukan adakah mendapat pahala atau dosa, neraka atau syurga.

6. Jangan merasa puas dan cukup dengan ilmu yang ada , teruslah mengkaji hukum hakam dan perkara agama.

7. Setiap kerja buat kita pasti terikat dengan 5 hukum samada wajib, haram, sunat, harus dan makruh. Timbang dulu dengannya baru teruskan beramal atau bertindak.

*📚 Rujukan:*
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
*Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak*
_6 April 2018/ 18 Rejab 1439_