KEMAMAN – Tabung Darul Iman (TDI) meluluskan bantuan khas berjumlah RM75,000 bagi membina semula rumah milik Salimin Ibrahim yang musnah dalam kebakaran dua bulan lalu berhampiran Balai Polis Kijal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata bantuan itu juga membolehkan proses pembinaan semula rumah dapat dilaksanakan dengan segera bagi memastikan mangsa dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
“Bantuan tersebut menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, khususnya apabila mereka berdepan musibah dan kesulitan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika program gotong-royong membersihkan tapak rumah berkenaan semalam.

Razali berkata gotong royong tersebut turut disertai Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), kontraktor kebersihan sekitar Kijal, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal.
Sementara itu, mangsa kebakaran, Salimin Ibrahim melahirakan rasa bersyukur dan terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri serta bantuan yang disalurkan.
“Bantuan tersebut sebagai suntikan semangat untuk memulakan kehidupan baharu selepas kejadian yang menimpa tempoh hari,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa pada 14 September lalu, sebuah rumah berhampiran Balai Polis Kijal musnah dalam kebakaran.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kijal dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya. Tiada mangsa dilaporkan tercedera dalam insiden tersebut.






