Home Berita PAS Terengganu

Syarikat Kerajaan Terengganu lancar kereta tenaga solar

53
SHARE

KUALA TERENGGANU – Anak Syarikat Negeri, EPIC Berhad telah melancarkan EPIC Solar Car (ESCAR) hasil kolaborasi bersama EPIC Solar Sdn Bhd (ESSB) dan University College TATI (UC TATI).

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, Ir Mukhtar Suhaili berkata ESCAR bertujuan untuk mempromosikan pembangunan mampan dengan mengurangkan pelepasan karbon dan memperkenalkan tenaga boleh diperbaharui.

“Kenderaan ini dikuasakan oleh tenaga solar dan tidak menggunakan bahan api, justeru menjadikannya salah satu alternatif mesra alam kepada kenderaan konvensional.

“Diusahakan bermula pada bulan November 2022 oleh pasukan projek yang diketuai oleh Pengurus Besar ESSB, Fuaad Mohamed Nawawi dan Ketua Penyelidik UC TATI, Prof. Madya Ts. Dr. Ruzlaini Ghoni.

“ESCAR pada awalnya dirangka untuk kegunaan operasi di Ladang Solar ESSB, dengan rancangan untuk memperluaskan penggunaannya ke kawasan Pangkalan Bekalan Kemaman dan digunakan sebagai kenderaan pelancongan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Hadir bagi menyaksikan majlis pelancaran tersebut, Pengerusi ESSB, YM Tengku Amran Tengku Awang, Pengarah ESSB, Hazri Jusoh, barisan Pengurus Besar Kumpulan EPIC, wakil-wakil ESSB serta UC TATI dan wakil Kelab Golf Rekreasi Petronas (KGRP).

Tambah Ir Mukhtar, projek tersebut masih dalam penyelidikan untuk meningkatkan kapasitinya dan ciri-ciri sedia.

Jelasnya, seperti pemantauan bateri dan sistem Penjejakan Penentududukan Global (GPS).

“ESSB dan UC TATI komited untuk menggalakkan pembangunan mampan dan akan terus berganding bahu bagi menginovasi lebih banyak kenderaan berteknologi canggih dijanakuasakan oleh tenaga solar.

“Selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG), khasnya SDG 11-Bandar dan Komuniti Mampan dan SDG 13-Tindakan Iklim,” katanya.

Sementara itu Fuaad berkata berkata, inisiatif tersebut adalah inovasi terhadap kenderaan ringan iaitu kereta buggy yang biasanya digunakan di kelab-kelab golf dan kawasan pelancongan.

“Inovasi ini mengguna pakai tenaga elektrik yang disimpan dalam bateri di mana tenaga tersebut dijanakuasakan oleh tenaga solar, berbeza dengan kenderaan berasaskan petrol.

“Kenderaan ini akan membuat pengecasan elektrik secara automatik selagi wujud sumber cahaya matahari, sekaligus membantu dalam penjimatan kos operasi,” katanya.