Syair Urdu serikan Ijtimak Khas PAS Tambun
Oleh: Akif Danisya Ismail
TAMBUN: Politik bukan sahaja medan mendapat kuasa, namun politik perlu bertindak sebagai medan sebar dakwah seperti perjuangan Nabi Muhammad SAW, demikian tegas Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said.
“Ahli-ahli PAS kena sentiasa mengaji. Sirah terutamanya. Sahabat-sahabat Rasulullah ada yang kaya (antaranya) Abdurrahman bin Auf, Saidina Usman. Tapi kenapa Rasulullah pinjam (harta) daripada Yahudi?
“Dalam hadis ada juga Rasulullah SAW menyuap seorang Yahudi buta yang selalu memaki baginda. Bukankah dia musuh? Mengapa Rasulullah dekat dengan musuh? Ada waktunya (ia) perlu sebagai satu strategi dan dakwah,” terangnya.
Oleh itu, pesannya agar ahli PAS terus wala’ dan meyakini keputusan dan tindakan pimpinan PAS meskipun pada zahirnya dilihat sebagai sebuah tindakan yang janggal.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar ahli PAS terus meletakkan kebergantungan kepada Allah di tempat tertinggi sebagai kekuatan utama menghadapi serangan musuh.
Ironinya, pesanan itu disampaikan melalui sebuah syair di dalam bahasa Urdhu yang membawa maksud, berapa banyak perancangan musuh kepada kamu, namun akhirnya kamu akan lihat Allah yang akan menentukannya
“Sekali (lagi) pesan saya, perjuangan ini pasti ada halangan. Pasti kita akan ada tekanan. Tekanan inilah yang akan menjadikan kita makin ampuh, (InsyaAllah). Ketidakselesaan ini (yang) membuatkan kita perlu terus bergantung pada Allah,” pesannya lagi.
Ijtimak Khas PAS kawasan Tambun telah berlangsung kelmarin dengan kehadiran para petugas pilihanraya daripada Gopeng dan Tambun yang telah bertugas membantu PRN Selangor, Dun Hulu Bernam baru-baru ini.