Oleh : Muhammad Abdul Fateh
Wangsa Maju, 27 Jun 2025 – Suasana syahdu menyelubungi kediaman keluarga Allahyarham Muhammad Aizat Amni apabila Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Ustaz Beyhaqi Ramli, mengiringi Pengarah Kebajikan PASTI Malaysia, Mohamad Zaheran Abdul Kadir untuk menyantuni waris Allahyarham dalam satu kunjungan penuh rasa kebersamaan dan kasih sayang.
Dalam kunjungan tersebut, PASTI Malaysia telah menyerahkan sumbangan khairat kematian berjumlah RM5,000 kepada ahli keluarga bagi meringankan beban mereka yang masih dalam tempoh berduka.
Ustaz Beyhaqi Ramli menyatakan, kunjungan ini adalah simbol keprihatinan dan tanda kebersamaan jemaah terhadap ahli keluarga yang sedang melalui saat-saat sukar.
“Allahyarham Muhammad Aizat Amni bukan hanya seorang aktivis yang gigih, tetapi juga seorang sahabat dan insan yang sangat disenangi ramai. Kita datang hari ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi juga membawa doa dan semangat agar keluarga Allahyarham terus tabah,” ujar beliau dengan nada penuh emosi.
Keluarga Allahyarham yang kelihatan sebak, melahirkan rasa terharu atas ingatan dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh PAS Wangsa Maju serta PASTI Malaysia.
“Arwah seorang anak yang baik, rajin membantu keluarga. Kami sangat bersyukur atas kehadiran semua hari ini. Moga Allah balas kebaikan kalian,” kata Sobri sambil menahan sebak.
Suasana yang sederhana di ruang tamu rumah bertukar penuh makna apabila doa dipimpin bagi mengirimkan pahala buat Allahyarham. Tangisan halus kedengaran di kalangan ahli keluarga dan para tetamu, tanda rindu yang tidak terpadam.
Dengan wajah yang sarat rasa kehilangan, ramai yang menyifatkan pemergian Allahyarham Muhammad Aizat Amni sebagai satu kehilangan besar kepada perjuangan dan gerak kerja kebajikan di Wangsa Maju.
Momen syahdu ini menjadi bukti bahawa ukhuwah dalam perjuangan tidak pernah mengenal noktah, malah terus bersemi walau ditinggalkan oleh insan tersayang.
Turut hadir Ketua Penerangan PAS Wangsa Maju, Muhammad Hakim, Guru Besar PASTI Wangsa Maju, Hajah Fatimahwaty, wakil NGO Syabab Care, Iqman Ibrahim dan wakil PASTI Malaysia, Puan Shuhaida Taib dan Puan Khairi Syutina Mahmood.