Home Berita PAS Terengganu

Susu Masam, Kek Ang pemikat Fiesta Ria Ramadan Duyong Marina

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Yogurt asli Melayu yang dihasilkan dari susu kerbau iaitu Susu Masam menjadi pilihan hidangan Bufet Fiesta Ria Ramadan di Duyong Marina & Resort (DMR) bagi tahun ini.

Ketua cefnya, Marini Abdul Ghani berkata, makanan tradisi dari Hulu Terengganu itu dipilih bersama kuih tradisi, Kek Ang untuk diletakkan sebagai hidangan sebagai antara tarikan utama juadah berbuka puasa di hotel berkenaan.

“Kita dikalangan rakyat Terengganu sendiri ada yang tidak kenal dengan makanan ini. Ada juga yang tahu, tetapi tidak pernah lihat atau kenal cara makannya.

“Jadi, kita ambil ini sebagai satu tanggungjawab sosial untuk memperkenalkan produk tempatan kita kepada umum dengan lebih meluas.

“Produk ini juga kita ambil dari pengeluar asal dengan tujuan mengetengahkan produk tempatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa DMR bersama media, baru-baru ini.

Menurutnya, hidangan Kek Ang turut mendapat respon pengunjung yang hadir.

“Apabila kita hidangkan Kek Ang sebagai salah satu menu bufet Ramadan kita, ramai yang bertanya tentangnya kerana generasi muda kini jarang jumpa kuih-muih begini.

“Kami di DMR berpendapat, hidangan bufet bukan sekadar orang datang untuk makan sahaja, tetapi sebagai satu tanggungjawab anak Terengganu dalam memartabatkan makan kita kepada pengunjung luar,” tambahnya.

Dibuka sepanjang Ramadan, Fiesta Ria Ramadan DMR turut menawarkan Seafood Kava iaitu kombinasi makanan laut yang menjadi hidangan utama setiap tahun.

” Selain itu, kita ada itik salai belimbing buluh, patin tempoyak, Lamb Marrow Beriani, Asam Pedas Daging Tegal, pepes Johor dan teh masala sebagai hidangan,” ujarnya.

Fiesta Ria menyediakan pakej serendah RM90.10 bagi dewasa dan RM79.50 bagi warga emas.

Manakala, pakej kanak-kanak (6-12 tahun) bernilai RM47.70.