KUALA NERUS – Peranan suri rumah bukan lagi terhad menguruskan rumah tangga, sebaliknya mereka adalah tunjang utama yang mencorak masa depan bangsa.
Profesor Madya Dr. Roslina Ismail dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menegaskan bahawa, perubahan struktur keluarga moden, seperti keluarga kecil dan ibu tunggal, telah memberi tekanan tambahan kepada suri rumah.
Beliau menekankan perlunya suri rumah untuk terus memperkasa diri dengan ilmu dan sokongan agar dapat menghadapi cabaran seperti tekanan mental, pengasingan sosial, dan isu pengiktirafan.
“Suri rumah hari ini perlu celik digital dan mempunyai asas pengurusan. Mereka bukan sekadar mengikut peredaran zaman, tetapi menjadi ejen perubahan,” tegas Dr. Roslina yang turut berkongsi data demografi menunjukkan peningkatan bilangan wanita melebihi lelaki di beberapa daerah, menyoroti peranan wanita sebagai pencari nafkah keluarga.
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel pada Forum Cabaran Suri Masa Kini : Siapa Ambil Berat? sempena Simposium Suri Sejahtera 2025, anjuran Urusetia Wanita Terengganu (USWA), yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, semalam.
Forum yang disemarakkan dengan kehadiran suri rumah dari pelbagai latar belakang dari seluruh Terengganu, termasuklah wakil dari Kelantan, telah membongkar pelbagai cabaran dan potensi luar biasa yang dimiliki oleh golongan ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Nor Asilah Mohamed Zin.
Sementara itu, Nor Asilah turut berkongsi inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasa suri rumah.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan memperakui suri rumah sebagai nadi masyarakat dan tulang belakang negara.
“Kerajaan Negeri Kelantan melalui USWA telah melancarkan program ‘Cakna Suri’ yang memberikan sumbangan kewangan sebagai penghargaan kepada suri rumah.
“Selain itu, kami juga mempunyai Mawaddah Center yang menyediakan khidmat kaunseling percuma dan inisiatif pengisytiharan Hari Suri Misali setiap tahun bagi meraikan sumbangan suri rumah,” jelasnya.
Beliau turut menyentuh tentang inisiatif caruman Skim Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi suri rumah, yang mana kerajaan membantu mencarum bagi memastikan mereka mendapat perlindungan.
Forum ini bukan sahaja menjadi platform untuk menyuarakan cabaran, tetapi turut memahat inspirasi dan semangat baharu buat setiap suri yang hadir.