Home Tadabbur Al-Quran

Surah Al-Kahfi: Perjalanan Zulqarnain Ke Arah Barat Dunia: 85-88

240 views
SHARE

Tadabbur Al Quran Siri 31/2018

SURAH AL-KAHFI: PERJALANAN DZULQARNAIN KE ARAH BARAT DUNIA: 85-88

🖋Firman Allah SWT serta terjemahannya:

فَأَتۡبَعَ سَبَبًا (٨٥)

Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).

حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ مَغۡرِبَ ٱلشَّمۡسِ وَجَدَهَا تَغۡرُبُ فِى عَيۡنٍ حَمِئَةٍ وَوَجَدَ عِندَهَا قَوۡمًا ۗ قُلۡنَا يَـٰذَا ٱلۡقَرۡنَيۡنِ إِمَّآ أَن تُعَذِّبَ وَإِمَّآ أَن تَتَّخِذَ فِيہِمۡ حُسۡنًا (٨٦)

Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zul Qarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.

قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوۡفَ نُعَذِّبُهُ ۥ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِۦ فَيُعَذِّبُهُ ۥ عَذَابًا نُّكۡرًا (٨٧)

Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.

وَأَمَّا مَنۡ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَلَهُ ۥ جَزَآءً ٱلۡحُسۡنَىٰ‌ ۖ وَسَنَقُولُ لَهُ ۥ مِنۡ أَمۡرِنَا يُسۡرًا (٨٨)

Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.

 📖 Tafsir Ringkas:

1. Siri kali ini menceritakan tentang perjalanan Zul Qarnain ke arah barat dunia di mana kelihatan matahari terbenam di dalam laut yang nampak kehitam-hitaman seperti lumpur. Di sana ia bertemu dengan segolongan manusia yang kafir.

2. Maka Allah SWT telah memerintahkan dengan mengilhamkannya untuk memilih di antara dua tindakan, iaitu menyiksa mereka dengan penumpahan darah atau mengajak mereka supaya beriman kepada Allah SWT.

3. Tindakan Zul Qarnain terhadap golongan yang terus-menerus hidup dalam kemusyrikan kepada Allah SWT ialah mereka akan disiksa dengan hukuman bunuh. Manakala di akhirat kelak nasib mereka dikembalikan kepada Allah SWT untuk dihukum dengan azab yang tidak ada taranya dalam neraka jahanam.

4. Manakala bagi orang yang beriman, diberi jaminan pahala yang terbaik sebagai balasan di akhirat.

 🎀 Pengajaran:

1. Hadirkan hati untuk menjemput rasa muraqabatullah (merasai pengawasan drp Allah). Walau di mana pun berada, kita tidak terlepas dari pandangan Allah.

2. Jika kita kufur kepada Allah walaupun terlepas dari hukuman penguasa yang memegang amanah untuk menjatuhkan hukum di dunia, kita tidak terlepas dari azab Allah di akhirat.

3. Hendaklah yakin dan percaya janji Allah iaitu balasan yang baik untuk orang
beriman.

4. Para pemerintah hendaklah sentiasa menegakkan keadilan dan menjalankan hukuman berdasarkan Syariat agar orang-orang baik terdorong melakukan kebaikan dan orang-orang jahat menjadi sedar dan berubah.

5. Berjalan dan mengembaralah untuk meneroka dunia baru dan mengembangkan dakwah. Ia memberikan manfaat besar bila memiliki tujuan yang selari dan bertepatan dengan al-Quran iaitu menghapuskan kesyirikan dan kezaliman serta menegakkan hukum Allah SWT.

6. Sistem alam terbentuk daripada sistem sebab dan akibat. Oleh kerananya, setiap segala sesuatu memiliki sebab yang perlu diketahui.

📚Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
3 March 2018 / 14 Jamadil Akhir 1439