Home Berita PAS Terengganu

Suntik inisiatif khas atasi lambakan buah-buahan

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Inisiatif secara berterusan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan isu lambakan buah-buahan terus berulang.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pertumbuhan sebanyak 7.4 peratus berbanding negatif 4.7 peratus pada tahun 2022 sehingga menjadikan sektor pertanian sebagai antara sektor terbaik, merupakan satu usaha yang cemerlang dilaksanakan kerajaan negeri.

“Namun, isu lambakan tembikai dan buah-buahan kampung saban tahun menjadi masalah utama yang menyebabkan harga (jualan) menjadi terlalu murah.

“Jadi, Batu Rakit mohon isu lambakan ini diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan supaya petani kita gembira apabila sampai masa menuai.

“Kerajaan ada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang boleh bantu tembusi pasaran dimana-mana sahaja dalam negara atau ke luar negara,” katanya ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri perlu memperkasakan tindakan yang diambil, supaya gerak kerja sedia ada yang sedang berlangsung mampu mencapai hasil terbaik.

Sebagai rekod, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 sebagai pemangkin kepada usaha memodenkan sektor pertanian, sekali gus mendorong pertumbuhan KDNK sektor itu sehingga 12 peratus menjelang tahun 2030.