Home Berita PAS Terengganu

Sumber air sumbang RM25 juta kepada hasil baharu Terengganu

12
SHARE

KUALA TERENGGANU – Agensi di bawah kerajaan negeri, Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) berjaya menjana lebih RM25 juta hasil baharu buat negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setelah hampir lima tahun penubuhan, LAUT telah berjaya menyalurkan hasil sebanyak itu bagi 2024 kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri akan menggunakan hasi ini sebagai memenuhi komitmen dalam meningkatkan usaha-usaha pemuliharaan dan pemeliharaan sumber air yang menjadi pemangkin kepada ekonomi berasaskan sumber air,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan melalui laman sosial rasminya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga sempat merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan pencapaian itu.

“Tahniah kepada pengurusan dan kakitangan LAUT.

“Terima kasih buat ahli mesyuarat yang hadir bagi memastikan perancangan memperkasakan LAUT dapat berjalan dengan baik,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan negeri juga telah menjangkakan pendapatan sebanyak RM32 juta pada tahun 2025 hasil pelaksanaan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 menerusi agensi tersebut.

Untuk rekod, LAUT merupakan sebuah agensi bertanggungjawab memelihara dan memulihara sumber air, lembangan sungai, perairan pantai dan alam sekitarnya.

Antara perkhidmatan tersenarai di bawah jurisdikasi LAUT merupakan perlesenan untuk pengabstrakan air dan aktiviti penggubahan sumber.

Selain itu, agensi tersebut juga melakukan penguatkuasaan dalam mengawal selia sumber air serta menjaga kelestarian kuantiti dan kualiti air.