Home Berita PAS Kedah

Sumbangan RM179 ribu kepada pondok, 20 pelajar

222
SHARE

Oleh AMAL NABILA

ALOR SETAR, 6 Okt – 53 institusi pondok dan madrasah terima bantuan wakalah bernilai RM159 ribu daripada agihan zakat pejabat kerajaan negeri di Majlis Penyerahan Bantuan Wang Wakalah di Seri Mentaloon, hari ini.

Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata sumbangan wakalah bernilai RM20 ribu turut diperuntukkan kepada 20 pelajar Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) yang terpilih.

Katanya, sumbangan ini diberikan agar dapat digunakan dalam pengurusan pondok dan dapat membiayai yuran pengajian pelajar tersebut.

“Saya minta untuk pilih madrasah dan pondok-pondok dulu. Mereka antara yang paling terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan. Dengan pelajar tidak boleh hadir, ustaz-ustaz tidak boleh mengajar di masjid dan surau dan mereka mengalami kesukaran yang berat.

“Zakat ini dibuat melalui potongan gaji kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bagi tahun 2020 berjumlah RM2,157,084.60,” ujar beliau.

Maklum Haji Sanusi, potongan zakat ini adalah daripada 29 agensi kakitangan kerajaan negeri.

“Berdasarkan rekod pembayaran gaji, seramai 4056 kakitangan kerajaan negeri daripada keseluruhan 5173 kakitangan telah membuat pembayaran zakat kepada LZNK melalui sistem potongan gaji bulanan.

“Sehubungan itu, saya berharap jumlah ini dapat ditingkatkan lagi dan semua kakitangan kerajaan negeri dapat membuat pembayaran zakat melalui potongan setiap bulan.

“Saya amat menggalakkan semua penjawat awam termasuk penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Kedah untuk mengambil langkah yang sama membuat potongan bulanan kepada LZNK,” kata beliau.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan, YB Brigedier Jeneral Dato’ Haji Najmi Haji Ahmad (B), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Ustazah Siti Ashah Haji Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, YB Wan Romani Wan Salim, Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’ Haji Isahak Murat dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”