Home Berita PAS Terengganu

Sumbangan ‘Pok Mang’ kini terbatas

12
SHARE

DUNGUN – Sumbangan ‘Pok Mang’ Wan Abdul Rahman Wan Endut dalam bidang fotografi diiktiraf sebagai aset kepada gerakan penerangan negeri, namun keuzuran beliau kini menghadkan pergerakannya.

Timbalan Ketua Lajnah Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Harun Isa berkata, kecekalan dan komitmen Pok Mang dalam kerja dakwah wajar dihargai dan dicontohi.

“Kita amat menghargai jasa Pok Mang yang sentiasa hadir tanpa mengenal penat lelah, merakam detik-detik penting perjuangan ini.

“Gambar-gambar beliau bukan sahaja cantik, malah sarat dengan makna perjuangan yang menjadi inspirasi kepada ramai,” ujarnya yang juga Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Beliau berkata demikian ketika menziarahi Pok Mang di Kampung Binjai dekat sini dan menyampaikan sedikit sumbangan sebagai tanda penghargaan pada Ahad.

Menurut Ustaz Harun, ratusan gambar berkualiti tinggi hasil sentuhan kreatif Pok Mang pernah menghiasi pelbagai platform media sosial, dan menjadi sumber penting kepada pengamal media lain.

“Namun sejak kebelakangan ini, kelibat beliau di lapangan semakin jarang kelihatan berikutan masalah kesihatan termasuk gout, saraf dan beberapa komplikasi lain yang memerlukan rehat serta rawatan berterusan,” katanya.

 

 

Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Inspirasi (KAMI), Naraza Muda yang turut sama dalam lawatan itu, merakamkan penghargaan atas sumbangan besar Pok Mang dalam dunia media.

“Pok Mang adalah contoh dedikasi dan kesungguhan dalam dunia dakwah visual. Beliau tidak hanya merakam gambar, tetapi menyampaikan mesej yang amat bermakna kepada masyarakat.

“Kami di KAMI turut merasakan kehilangan beliau di medan penerangan ini, hasil kerja beliau selama ini menjadi antara tulang belakang kepada kekuatan penyebaran maklumat melalui visual yang menarik dan tepat” ujar Naraza.

Tambahnya lagi, ketiadaan Pok Mang di lapangan sememangnya dirasai oleh ramai pihak.

Justeru, beliau berharap agar semua urusan Pok Mang dipermudahkan dan seluruh warga penerangan negeri mendoakan agar beliau diberi kesembuhan, dipermudahkan segala urusan.

“semoga Pok Mang terus diberi kekuatan untuk kembali menyumbang dalam bidang yang beliau cintai,” tambah beliau.