Oleh : Siti Aseelah Mohd Noor
TELUK INTAN, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan menyemarakkan lagi aktiviti Ramadan kali ini dengan menganjurkan Sumbangan Kasih Ramadan bertempat di Kompleks Pas Teluk Intan, KOMPASTI di sini, semalam.
Seramai 100 orang penerima yang layak telah hadir dari sekitar Teluk Intan termasuklah penerima sumbangan tetap setiap bulan memenuhi KOMPASTI bersama ahli keluarga masing-masing.
Mohd Azhar Mohd Rafaie ketika menyampaikan ucapan pembukaan mengingatkan hadirin bahawa Allah menganugerahkan rezeki yang berbeza kepada setiap manusia. Justeru rezeki tersebut perlu disyukuri dan saling bantu membantu.
“Rasa syukur perlu dimaknakan dengan menyebarkan kebaikan dan manfaat sesama kita. Lebihan rezeki yang kita miliki mungkin milik orang lain yang lebih memerlukan,” ujar beliau lagi.
Pek sumbangan yang diterima berupa sekampit beras, minyak masak dan barang asas keperluan harian telah disampaikan oleh Yang DiPertua PAS Teluk Intan serta Ketua Cawangan Kampung Padang Tembak, Abidin Sharif.
Dalam sesi tazkirah ringkas di awal program, Ketua Lajnah Kebajikan Teluk intan, Mohd Lutfi Shamsudin berpesan agar kita semua dapat memanfaatkan Ramadan yang penuh barakah ini dengan melaksanakan amal soleh sebanyak mungkin dan menjauhi perbuatan mungkar yang boleh merosakkan kemuliaan Ramadan.
Antara yang hadir, Setiausaha PAS Kawasan, Mohd Farid Mohd Saad, Ketua Dewan Muslimat, Robi’aton Mohd Abas, Ketua Kebajikan Muslimat, Robainah Ismail, Ketua Muslimat Cawangan Padang Tembak, Azizah Hamdan serta ahli jawatankuasa yang lain.