KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini menyalurkan sumbangan Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas berjumlah RM1.8 juta bagi membantu meringankan beban kewangan pelajarnya.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menyempurnakan penyerahan sumbangan itu pada Majlis Penyampaian Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas di Dewan Sultan Mizan, UMT dengan disaksikan wakil agensi penyumbang utama zakat.
Sumbangan berkenaan merangkumi tiga kategori iaitu Bantuan Awal Pengajian bernilai RM500 kepada 1,000 pelajar baharu, bantuan komputer riba kepada 40 pelajar asnaf serta Biasiswa Al-Idrisi UMT bernilai RM18,000 kepada seorang penerima.
Antara penerima bantuan komputer riba ialah Muhammad Hafizi Mohd Arifin, 18, pelajar Diploma Perikanan dari Jerantut, Pahang yang sebelum ini terpaksa meminjam komputer riba rakan kerana kekangan kewangan.
Sementara itu, Nur ‘Azhiimah Mohd Ali, 28, dari Kota Bharu, Kelantan diumumkan sebagai penerima tunggal Biasiswa Al-Idrisi UMT selepas memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.44 dalam program Sarjana Muda Sains Akuakultur Dengan Kepujian.
Majlis itu turut dihadiri wakil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Bank Islam, CIMB Islamic, RHB Islamic dan Bank Muamalat sebagai rakan strategik penyumbang zakat.
Dalam ucapannya, Mohd Zamri merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang zakat dan menegaskan usaha tersebut bukan sahaja meringankan beban pelajar, malah menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik mereka.