Home Berita PAS Terengganu

Sultan Terengganu zahir penghargaan atas pencapaian 75 tahun MAIDAM

20
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak sama ada individu mahupun agensi yang telah membantu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melaksanakan fungsinya dengan cekap dan berkesan.

“Beta merasa gembira atas pencapaian dan transformasi yang telah berlaku sepanjang tempoh 75 tahun MAIDAM selari dengan kedudukan bahawa hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Beta berpandangan bahawa MAIDAM perlu berperanan secara lebih dinamik, progresif dan selangkah di hadapan,” titah baginda.

Sultan Mizan bertitah demikian sempena Majlis Perasmian Sambutan 75 Tahun MAIDAM di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini.

Baginda bertitah, MAIDAM tidak hanya sebagai badan ‘regulator’ dalam Hal Ehwal Agama Islam Dan Adat Melayu di negeri ini, malah menjadi ‘game changer’ kepada corak pemikiran, minda dan gaya hidup masyarakat mengikut acuan lslam.

“Islam is the way of life, selain memupuk budaya penyayang dalam kehidupan masyarakat lslam dan bukan lslam, Beta juga ingin melihat MAIDAM mempelbagaikan inovasi dalam pengurusan zakat, wakaf dan baitulmal ke arah pembangunan ekonomi dan pemerkasaan ummah yang lestari,” titah baginda.

Titah Sultan Mizan, baginda disembah maklum bahawa pada 25 Jun lalu, Negeri Terengganu telah berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar.

“Seramai 6,632 peserta miskin tegar telah dijadikan sasaran untuk disifarkan mulai 31 Januari 2023.

“Beta amat menghargai kejayaan ini yang dicapai menerusi usaha kolektif pelbagai agensi termasuk MAIDAM. Beta merasa amat sukacita bahawa jumlah kutipan zakat di Terengganu telah berjaya diagihkan seratus peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Usaha ini perlu ditambah baik dari semasa ke semasa agar tiada isu keciciran dalam kalangan individu yang layak menerima bantuan zakat di Terengganu,” titah baginda.

Baginda bertitah, MAIDAM diharap terus meningkatkan lagi prestasi kecekapan pengurusan kewangan, zakat, wakaf dan baitul mal.

“Seluruh warga MAIDAM tidak seharusnya cepat berpuas hati dengan tahap pencapaian semasa, sebaliknya terus berusaha melakukan pembaharuan dan inovasi,” titah Sultan Mizan.