Home Berita PAS Terengganu

Sultan Terengganu Kurnia Darjah Kebesaran kepada 130 individu

29
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seramai 130 orang menerima kurniaan darjah kebesaran dan bintang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-63 di Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.

Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mendahului senarai penerima  ialah Dato’ Jaafar Abd Aziz yang menjunjung pengurniaan Gelaran Kebesaran Negeri yang membawa gelaran Dato’ Setia Bakti.

Ia diikuti pengurniaan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pengerusi Eksekutif Melati Ehsan Holdings BERHAD, Tan Sri Dato’ Yap Suan Chee.

Baginda juga mengurniakan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ) Yang Amat Terpilih kepada Duta Besar Malaysia ke China, Dato’ Norman Muhamad yang membawa gelaran Dato’.

Turut dianugerahkan DSMZ ialah Consultant – Perhotelan & Pelancongan Sukan dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Nur Zahirah, To’ Puan Seri Nur Rahmah Mohd Zin.

Baginda turut berkenan mengurniakan DSMZ kepada Penaung Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia, Datuk Wira Shaikh Abdul Halim Shaikh Salah Marie Alkathiri dan Pengerusi Eksekutif Medan Mutiara Sdn Bhd, Sirna Empire Sdn Bhd, Datuk Mazli Mohan Alias.

Sultan Mizan juga berkenan mengurniakan kepada 23 individu Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) Yang Amat Dihormati yang membawa gelaran Dato’.

Antara penerima DPMT ialah tiga orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Dr Azman Ibrahim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan negeri(ADUN) Jabi, Ariffin Deraman (ADUN Alor Limbat) dan Hanafiah Mat (ADUN Cukai).

Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SMZ) Yang Amat Terpilih kepada 23 penerima, Setia Mahkota Terengganu (SMT) Yang Amat Dihormati (13 penerima), Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (AMZ) Yang Amat Terpilih (21 penerima) dan Ahli Mahkota Terengganu (AMT) Yang Amat Dihormati (42 penerima).