Home Berita PAS Terengganu

Sultan Terengganu berkenan kurnia Hadiah Pertandingan Sultan Mizan Underwater Photography

69
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Award 2023.

Majlis yang bermula pada jam 3 petang itu berlangsung di Dewan Santapan Diraja Istana Syarqiyyah, di sini semalam.

Ketibaan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Dalam majlis itu, Sultan Mizan bertitah, Terengganu sememangnya terkenal dengan adanya pulau-pulau yang indah antaranya Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Kapas dan Pulau Lang Tengah.

“Semua lokasi itu mempunyai tarikan tersendiri yang mampu menjadi tarikan pelancong asing mengunjungi Terengganu.

“Oleh itu, Program Underwater Photography Award 2023 amat sesuai dianjurkan di negeri ini

“Ia secara tidak langsung mempromosikan sektor pelancongan negeri di mata dunia,” titah baginda pada majlis berkenaan.

Sultan Terengganu kemudiannya berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang pertandingan dan turut berkenan melawat ruangan pameran fotografi pertandingan tersebut.

Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan pelajar-pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan.

Sultan Mizan diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu dan Tengku Puteri Daulath Raja berangkat dari majlis sekitar jam 5.00 petang.