KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang bersama lebih 3,000 jemaah di sini.
Turut mengiringi baginda, Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Solat Sunat Aidilfitri itu telah diimamkan oleh Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron yang turut menyampaikan khutbah Aidilfitri yang bertajuk Memupuk Silaturahim.
Sebaik selesai menunaikan solat, Sultan Mizan Zainal Abidin dan anakandanya, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Dato’ Seri Mua’az kemudiannya menziarahi makam diraja yang terletak bersebelahan masjid.