Home Berita PAS Terengganu

Sultan Mizan rasmi Masjid Tengku Besar Terengganu

32
SHARE

MARANG – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Masjid Kubang Ikan di Kampung Chendering di sini hari ini.

Baginda juga berkenan menukar nama Masjid Kubang Ikan kepada Masjid Tengku Besar Terengganu pada majlis berkenaan.

Keberangkatan Baginda diiringi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ketibaan Sultan Mizan disambut oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nara Setia.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Perasmian Masjid Kampung Kubang Ikan, Kuala Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu, Dato’ Haji Shaikh Harun  Shaikh Ismail.

Sejurus selesai majlis perasmian, Baginda turut menunaikan sembahyang Jumaat bersama masyarakat setempat yang turut hadir menyaksikan majlis bersejarah itu.

Baginda seterusnya ke majlis santapan tengahari di pekarangan masjid sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Masjid Kubang Ikan mula dibina diatas tanah keluasan 1.7785 hektar pada 1 Mei 2011 dan siap dibina sepenuhnya pada 28 Mac 2013 dengan kos RM12 juta hasil sumbangan derma yang disalurkan melalui Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja.

Solat Jumaat pertama telah didirikan pada 12 April 2013 bersamaan 01 Jamadil Akhir 1434h.

Bangunan masjid ini dapat menampung kira-kira 1500 orang jemaah dalam satu-satu masa, dilengkapi pelbagai kemudahan merangkumi Ruang Solat Utama, Ruang Solat Muslimah, Tempat Wuduk lelaki dan Perempuan, Bilik VIP, Minaret dan lain-lain.