Home Berita PAS Terengganu

Sultan Mizan kurnia sumbangan Aidilfitri

38
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mengurniakan bantuan kewangan bagi meringankan golongan miskin sempena Hari Raya Aidilfitri 1444H yang akan disambut tidak lama lagi.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) Datuk Mohd Fadli Yusof berkata, yayasan itu membelanjakan sebanyak RM255,000 untuk membantu meringankan bebanan golongan kurang bernasib baik membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Sepanjang Ramadan, memang menjadi satu tugas yang biasa dilaksanakan YDSM bagi mengimarahkan bulan penuh keberkatan ini sejak ditubuhkan 18 tahun lalu.

“Justeru itu, dengan sedikit sumbangan yang disediakan ini diharapkan mereka dapat menjalani ibadah puasa  dengan sempurna dan seterusnya merayakan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran,” katanya kepada media selepas majlis Pengurniaan Sumbangan Sempena Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah anjuran bersama YDSM dan Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.

Turut berangkat adalah Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi YTNZ Datuk Radzuan Radziwill.

Dalam majlis tersebut Sultan Mizan berkenan mengurniakan bantuan kepada 200 fakir miskin terpilih dari seluruh daerah Terengganu berupa wang tunai selain hamper barangan keperluan harian melalui YDSM termasuk 30 penggiat seni dan budaya negeri serta 30 veteran polis turut untuk menerima kurniaan yang sama.

Di samping itu, 210 pelajar dari keluarga miskin dari tujuh buah sekolah dipilih menerima kurniaan berupa wang tunai termasuk tiga buah madrasah dan pusat pengajian Islam turut dianugerahkan kurniaan yang sama melibatkan 30 pelajar bagi setiap madrasah.

Pada majlis yang sama, seramai 500 fakir miskin wanita menerima kurnian daripada YTNZ  bagi persediaan menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, salah seorang penerima, Haishah Subair, 50, berasal dari Kemaman berkata, dia rasa terharu kerana terpilih sebagai salah seorang penerima  bantuan kali ini.

Dia yang bekerja sebagai tukang bersih di Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai berkata duit yang diterima akan digunakan untuk membeli keperluan hari raya buat enam anaknya yang salah seorangnya merupakan anak istimewa dan dua orang anak yatim piatu yang kini berada dibawah jagaannya.