Home Berita PAS Terengganu

Sultan Mizan Berangkat ke Santapan Malam Sempena Dua Dekad YDSM

3205
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat mencemar duli Majlis Santapan Malam Sambutan Dua Dekad Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan baginda.

Keberangkatan baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka anakanda-anakanda, Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Dato’ Mohd Fadzli Yusof bagi melengkapkan majlis yang telah berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.

Mohd Fadzli berkata, matlamat utama YDSM ditubuhkan oleh tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mempertingkat dan memperkasakan tahap sosioekonomi rakyat, khususnya di Terengganu.

“Pelbagai program yang telah dijalankan dan kini terdapat empat inisiatif baru dimana dua daripadanya telah berjalan akhir tahun lalu dan dua lagi akan dilaksanakan pada tahun ini.

“Yang telah dilancarkan ialah kursus penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV) dengan kerjasama Terengganu Skill Development Center (TESDEC), Yayasan Terengganu (YT), Motordata Research Consortium Sdn Bhd,” katanya.

Selain itu, YDSM telah dipajakkan satu kawasan di Setiu dengan keluasan sebanyak 70 ekar bagi tujuan pembangunan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Wilayah Pantai Timur.

“Pembangunan pusat rehabilitasi ini telah pun berjalan dan dijangka akan siap dalam masa dua tahun. Kita doakan dengan pembukaannya nanti, banyak manfaat ekonomi dapat diluahkan kepada masyarakat setempat.

“Seterusnya, seni anyaman kercut yang baru sahaja dilaksanakan awal tahun ini dengan dana daripada Hisbiscus Petroleum Berhad. Program latih seni ini bertujuan supaya anyaman warisan yang unik ini dapat dipelihara dan dipulihara.

“Kursus anyaman kercut ini disertai oleh 16 orang pelajar dan graduan di UniSZA Besut, juga dengan kerjasama daripada lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia,” jelasnya.

Tambah beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan Dua Dekad YDSM itu,turut diadakanΒ pelancaran program tajaan biasiswa penuh oleh kerajaan Arab Saudi, khusus buat anak-anak Terengganu dengan sebanyak 50 tajaan secara keseluruhan.

Bagi memperingati peristiwa bersejarah sejak awal penubuhannya pada tahun 2005 yang kini telah mencapai usia dua dekad, tiga buah buku YDSM; ‘Terengganu – Wajah-wajah Kehidupan’, ‘HRH Sultan Ismail Nasiruddin Shah – Life As A Pioneer Photographer King’ serta ‘Terengganu Islands and State Park’ telah dilancarkan.

Majlis yang dihadiri lebih 300 orang tetamu daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan itu turut menyaksikan pelancaran ‘Gold Bar’ Edisi Khas Dua Dekad YDSM.