Home Berita PAS Terengganu

Sultan Mizan berangkat ke forum agama bersama warga Setiu

9
SHARE

SETIU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Forum Agama Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-63 tahun semalam.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Program yang berlangsung di Tapak Pasar Pagi Bandar Permaisuri, Setiu, dihadiri peserta pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada penjawat awam, pelajar-pelajar serta masyarakat setempat.

Forum bertajuk ‘Akidah Islamiyyah: Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah’ itu menampilkan Tuan Zakaria Othman sebagai moderator bersama tiga ahli panel terdiri daripada Zul Ramli Mohmmed Razak, Dato’  Kamarudin Abdullah, dan Prof. Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy.

Antara intipati forum yang berlangsung selama dua jam itu ialah penekanan terhadap asas keteguhan akidah yang menjadi kunci kepada pengukuhan keimanan kepada Allah S.W.T. bagi umat Islam.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung yang hadir, Atiekah Ali, 27, menyatakan keterujaannya melihat penyertaan daripada penduduk daerah Setiu dalam menghadiri majlis ilmu khususnya di Bandar Permaisuri pada malam itu tadi.

“Sepanjang hidup saya di Permaisuri, ini adalah merupakan kali pertama saya merasai sendiri pengalaman di mana ramai orang berkumpul untuk menghadiri program seperti ini dan paling istimewa, Sultan sendiri turun (datang) ke sini.

“Mungkin sebelum ini saya terlepas pandang akan anjuran program sedemikian di kawasan ini (Bandar Permaisuri), namun saya masih merasa kagum melihat bilangan ramai orang bersungguh-sungguh untuk hadir.

Dia yang merupakan seorang usahawan di kawasan berhampiran tapak majlis tersebut berkata demikian ketika ditemui oleh pihak Urus Setia Darul Iman, di sini, semalam.