Home Berita PAS Terengganu

SUKSEM: Skuad e-sport tambah koleksi emas Terengganu

20
SHARE

KUALA NERUS – Pasukan e-sport Terengganu mengungguli ketiga-tiga acara yang dipertandingkan untuk muncul sebagai juara keseluruhan Kejohanan e-Sport Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX), hari ini.

Kemenangan itu menambah koleksi pingat emas buat tuan rumah dalam usaha merebut gelaran juara SUKSEM IX.

Manakala, pingat perak dimenangi Sabah dan gangsa menjadi milik Pahang.

Bagi acara EA Sports FC24 (EAFC24), Terengganu menang selesa 3-0 ke atas Pahang dalam perlawanan akhir.

Di arena pertandingan Mobile Legend (ML) pula, Terengganu mengalahkan Sabah 28-6 untuk dinobatkan sebagai johan pertandingan.

Kemenangan dua acara berkenaan melengkapkan prestasi cemerlang tuan rumah setelah menjuarai acara Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) dengan 175 mata, sebelum ini.

Dalam acara itu, Sabah berada di kedudukan kedua dengan 119 mata dan Selangor (113) di tempat ketiga.

Pengurus pasukan, Mohamad Hafiz Che Awang ketika ditemui menyatakan, amat berpuas hati dengan pencapaian itu.

“Kita berjaya memperbaiki kedudukan berbanding dua tahun lalu dan kali ini sebagai juara.

“Sebagai tuan rumah, kita memang letakkan sasaran sebagai juara, tetapi untuk permainan e-Sport ini banyak kekangan dari segi masa, tekanan dalam permainan dan kadang-kadang dari kontinjen sendiri juga.

“Boleh dikatakan ada tentangan sengit di setiap perlawanan. Di peringkat awal ada perlawanan yang mengheret sehingga set kelima bagi EAFC24, ada juga kita mengalami kekalahan.

“Alhamdulillah, pemain cemerlang mendominasi ketiga-tiga kategori,” katanya.