Home Berita PAS Terengganu

Sukarelawan T-Volt Bersih Lebih 100 Rumah Mangsa Banjir

22
SHARE

KUALA NERUS – Sukarelawan yang bernaung di bawah Terengganu Volunteers (T-Volt) membersihkan lebih 100 rumah mangsa banjir di Taman Desa Tanjung Damai (TDTD) dan Taman Desa Darul Iman (TDDI).

Misi bantuan pembersihan itu digerakkan hari ini bersama pelbagai agensi, Jabatan, GLC dan NGO terlibat

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, operasi pembersihan pasca banjir itu mendapat sambutan pelbagai pihak.

“Hari ini kita menerima sokongan daripada sukarelawan T-Volt, Khidmat Malaysia Besut, Khidmat Malaysia Setiu, Khidmat Malaysia Kemaman dan tentu sekali Khidmat Malaysia Kuala Nerus yang sebahagian membersih rumah dan sebahagian lagi menyediakan makanan melalui dapur rakyat.

“Kita juga menerima sokongan daripada GLC antaranya TDM, termasuk Jabatan Kerajaan seperti Jabatan Penjara, MBKT, serta syarikat persendirian yang turut membantu seperti Rimbun Tekad, ECRL dan lain-lain lagi,” katanya kepada UPDI.

Sementara itu, Hishamuddin turut memuji pihak PBT dan Pejabat Daerah yang dari awal bencana sehingga pasca banjir kerana terus memberi khidmat kepada komuniti dan mangsa banjir antaranya dengan menyediakan pengangkutan bagi membuang sampah pukal dan membersih kawasan terlibat.

“Selain dilakukan secara serentak dengan pihak PBT iaitu MBKT membersihkan kawasan, turut tidak ketinggalan Pejabat Daerah Kuala Nerus yang dari awal terus berbakti dan berkhidmat untuk kepentingan rakyat dalam Kuala Nerus khususnya di Tepoh kali ini.

“Alhamdulillah sampah-sampah pukal sebahagian telah diangkut dan akan ada lagi selepas ini kerana sebahagian rumah belum dimasuki kerana tuan rumah belum memasuki rumah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu serta komited untuk menyusun gerak kerja dengan lebih efisien.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu. Akan diteruskan lagi esok dan lusa sehingga selesai,” tambah beliau.