Home Berita PAS Sabah

Sukaneka PASTI Sandakan Kali Ke 30 tampil kelainan penuh warna warni.

1927
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis.
23 Julai 2019.

SANDAKAN : Temasya Sukaneka Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Sandakan kali ke 30 yang berlangsung Ahad lalu telah menampilkan kelainan apabila mengambil tema ‘Binatang Dalam Al-Quran’ sebagai tema tahun ini.

Temasya yang berlangsung di Kompleks Sukan Sandakan, Batu 5, Sandakan itu telah disertai oleh 15 buah PASTI melibatkan kanak-kanak 4 hingga 6 tahun dari seluruh Sandakan.

PASTI Saidina Umar Al-Khattab dari Taman Indah Jaya telah mengekalkan gelaran Juara Keseluruhan tahun lalu apabila berjaya merangkul mata tertinggi dalam temasya gilang gemilang ini sekaligus bergelar Juara Keseluruhan 2019.

Selain itu, bagi Naib Juara dan Tempat Ketiga masing-masing telah diraih oleh PASTI Saidina Hamzah, Taman Damai dan PASTI Zubair Al-Awwam, Kampung Kenangan Manis.

Dalam acara perbarisan pula, setiap kontinjen telah menampilkan kreativiti tersendiri bagi memenuhi tema yang telah ditetapkan.

Antara kategori yang dipertandingkan dalam acara perbarisan ialah formasi displin, pakaian tercantik dan sepanduk tercantik.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu sebagai perasmi temasya telah menerima tabik hormat daripada anak-anak cilik PASTI yang membuat lintas hormat dengan pelbagai persalinan menarik.

Disamping itu, sebanyak 13 buah acara lain dengan pelbagai kategori telah dipertandingkan iaitu Lari 4 x 50 Meter, Lari Dalam Sarung, Lari Bawa Bola Ping Pong, Isi Air Dalam Botol dan Tali Dalam Straw.

Acara Terbuka untuk kaum ibu dan kaum bapa turut dipertandingkan bagi menambah kemeriahan temasya yang penuh warna warni itu.