Home Berita PAS Terengganu

Sukan Air dan Karnival Pantai warnai kalendar pelancongan Terengganu 2025

194
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk memasukkan program sukan air seperti pertandingan lumba perahu panjang ke dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu Tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris mempertimbangkan cadangan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim yang turut menawarkan DUN Buluh Gading sebagai tuan rumah bagi acara tersebut.

“Kerajaan Negeri sedia maklum akan cadangan ini dan insyaallah akan mempertimbangkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan Karnival Pantai Terengganu 2024, yang mencatat kehadiran lebih 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri, menjadi bukti betapa pentingnya acara sebegini dalam menarik pelancong dan merancakkan ekonomi setempat.

“Pencapaian ini menunjukkan potensi besar karnival pantai sebagai acara utama negeri.

“Ia bukan sahaja mempromosikan pelancongan tetapi juga memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat, terutamanya usahawan kecil dan penggiat Industri Kecil Sederhana (IKS),” jelas beliau.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut mengumumkan bahawa Karnival Pantai Terengganu akan diteruskan pada tahun 2025 yang dijangka menjadi salah satu acara tanda aras (signature) dalam kalendar pelancongan dengan penyertaan dari dalam dan luar negara.

“Langkah ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama sambil memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat,” ujarnya.