Home Berita PAS Sabah

SRITI Lahad Datu ungguli acara memanah

121
SHARE

Oleh : Nur Marlyannah Umar
1 Julai 2024, Isnin

KUNAK : Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz Lahad Datu ungguli acara memanah dan sekaligus menjadikan SRITI Tahfiz Lahad Datu menjadi juara keseluruhan dalam Kejohanan Sukan dan Olahraga (KESUGA) SRITI Negeri Sabah Zon Pantai Timur kali ke-3 yang telah berlangsung di SMK Kunak Jaya, Sabtu lalu.

Kejohanan Sukan dan Olahraga (KESUGA) SRITI Negeri Sabah Zon Pantai Timur ini telah disempurnakan oleh Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Rosli Hassan.

Menurut Rosli, selain pencapaian akademik, sukan adalah entiti sangat penting dalam dunia pendidikan, kokurikulum dan sahsiah murid perlu dititikberatkan dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan anak-anak terus cemerlang dari semua aspek.

Empat acara sukan telah dipertandingkan dalam kejohanan kali ini, salah satunya adalah acara memanah yang mempertandingkan dua kategori iaitu kategori individu (muslimin dan muslimat) dan kategori berkumpulan (muslimin dan muslimat).

Menariknya kedua-dua kategori ini telah dimenangi oleh pasukan memanah SRITI Tahfiz Lahad Datu, Saif Musab Mursidi merangkul tempat pertama kategori individu (muslimin) manakala Fahimah Qisya Saffiyah Jamaluddin juga merangkul tempat pertama kategori individu (muslimat), diikuti Sarah Azzahra Heckenbucker Bernard tempat kedua dan Nur Irdina Khairani Mohd Khairul di tempat ketiga.

Dalam kategori berkumpulan memanah muslimin dan muslimat juga, pasukan memanah SRITI Tahfiz Lahad Datu menang berganda kerana berjaya merangkul tempat pertama di kedua-duanya.

Pihak penganjur berharap agar sukan memanah ini terus mendapat sambutan bagi mengimarahkan sunnah Nabi dan menggalakkan anak muda khususnya mengisi masa lapang dengan sukan dan program yang bermanfaat.

Turut hadir, Pengarah SRITI Negeri Sabah Kasman Karate, Timbalan Pengarah IV SRITI Negeri Sabah Mursidi Amat dan Yang Dipertua PAS Kawasan Lahad Datu Pataruddin Ramli.