Home Berita PAS Wilayah

Solidariti Pemuda PAS Wangsa Maju bersama Palestin

25
SHARE

Wangsa Maju, 25 Mei- Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju menzahirkan solidariti bersama Palestin menerusi kempen ‘Semarak Bendera Palestin’.

Kempen berkenaan menyaksikan beberapa bendera Palestin yang dikibarkan di beberapa lokasi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sekitar Wangsa Maju semalam.

Ketua DACS Wangsa Maju, Mohamad Asri berkata, inisiatif tersebut bertujuan menimbulkan kesedaran tentang isu kemanusiaan khususnya Palestin yang kini bertungkus lumus menentang kekejaman Israel.

“Pemuda PAS Wangsa Maju bertegas dan tuntas mengambil pendirian dan ketetapan untuk bersolidariti dengan teguh bersama rakyat dan negara Palestin yang dirobek martabat dan kedaulatan mereka.

“Israel perlu bertanggungjawab di atas pencerobohan dan pembunuhan yang telah berlaku. Justeru, setiap yang bertanggungjawab perlu dihadapkan ke pengadilan International Criminal Court (ICC),” katanya.

Tindak balas pemerintah Zionis terhadap protes warga Palestin melalui tindakan ketenteraan yang memusnah dan menghancurkan bangunan dan kediaman serta mengakibatkan pembunuhan terhadap wanita, kanak-kanak serta warga yang tidak berdosa juga jelasnya adalah suatu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

Turut serta dalam program tersebut ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju, Ustaz Mohd Abdul Hadi Ghazali dan Komandan Jabatan Amal Wangsa Maju, Solahuddin Ayubi.