Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan mengajak umat Islam agar bersoladiriti bersama umat Islam di Palestin terutama di sekitar Masjid Al Aqsa dan Semenjang Gaza yang sedang diserang oleh tentera rejim Zionis Israel ketika ini. Diberitakan seramai 24 orang telah syahid termasuk kanak-kanak dan beratus-ratus penduduk Palestin cedera akibat serangan yang berterusan.
Hingga ke saat ini, ketika umat Islam masih menyambut Ramadan dengan ibadah, umat Islam di Palestin dikejutkan dengan pencerobohan tentera Israel yang bertindak menahan dan menembak orang awam. Rejim bertindak dengan melempar bom asap, bom tangan dan menembak dengan peluru getah. Kebiadapan Rejim Isreal yang menyasarkan umat Islam ketika sedang menyambut Ramadan bukan perkara baharu, kerana sudah kerap kali mereka menyerang dan membunuh umat Islam di bulan yang mulia ini. Ini membuktikan mereka bangsa penakut, menyerang hendap secara pukul curi, dan menggunakan senjata berat ke atas orang awam yang tidak bersenjata.
DUPWP menyeru umat Islam agar bangkit membela saudara seakidah kita yang menjadi mangsa korban rejim yang zalim dan sombong itu. Sudah sampai masanya umat Islam berdiri tegas bagi mengajar keangkuhan rejim Zionis. Umat Islam tidak seharusnya berdiam diri dengan membiarkan saudaranya di Palestin dibunuh dengan kejam tanpa apa-apa tindakan yang perlu.
Malah, kita wajib menangisi mangsa korban syahid dan seterusnya merasa sedih dan kesal apabila Masjid Al Aqsa terus diceroboh oleh Israel. Kita tidak seharusnya mengizinkan seinci pun tanah umat Islam dijarah, apatah lagi penduduk yang mempunyai hak dan umat Islam dihalau dari tanah airnya sendiri.
Lantaran itu, Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan menggesa agar para asatizah di seluruh peringkat mengadakan solat Hajat dan Qunut Nazilah di setiap waktu solat sama ada di masjid mahupun di premis kediaman masing-masing. Ini sebagai tanda solidariti dengan nasib saudara kita dan seterusnya memohon istighasah kepada Allah SWT agar menyelamatkan Masjid Al Aqsa, serta memberi kekuatan dan kemenangan kepada umat Islam di Palestin.
DUPWP yakin pertolongan Allah semakin dekat terhadap Palestin. Ia juga menandakan kekalahan serta kehinaan terhadap bangsa Israel juga semakin dekat dengan izin Allah. Allah tidak mensia-siakan doa para alim ulamak, golongan solehin dan auliya yang berada bertebaran di seluruh pelusuk tanah air. Bermunajat dan bermohonlah kepada Allah, kerana Allah Maha Perkasa dan Lagi Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Firman Allah SWT:-
Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan. (surah Al Baqarah ayat 107)
UST HJ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan