Oleh: Fatiha Mohamad
05 Ogos 2025
Kinabatangan: “Sokongan ibu bapa adalah tunjang kekuatan PASTI.” Demikian penegasan Ketua Pemuda PAS Kinabatangan, Jumaidin Lakalla ketika merasmikan Program Alam Ria PASTI yang berlangsung meriah di perkarangan SRITI Kinabatangan, sabtu lepas.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan tinggi kepada para ibu bapa yang hadir memberi galakan kepada anak-anak serta mendukung usaha PASTI membina generasi soleh.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan padu apa jua program PASTI. Inilah kekuatan kita apabila pendidik, ibu bapa dan komuniti bersatu dalam membentuk masa depan anak-anak melalui pendidikan Islam.”
Beliau turut menyatakan bahawa alam ria bukan sekadar medan pertandingan tetapi juga ruang tarbiah untuk membina keberanian, bakat dan jatidiri anak-anak sejak usia kecil.
Acara tersebut menghimpunkan pelbagai pertandingan seperti bercerita, sajak, azan, pidato dan nasyid yang menampilkan potensi anak-anak PASTI dalam suasana ceria dan bersemangat. Kehadiran ibu bapa turut memberikan sorakan sokongan menjadikan majlis lebih bermakna dan menyentuh hati.
Dengan tema “40 Tahun PASTI, 4 Dekad Membina Generasi Rabbani ”, Alam Ria PASTI kali ini mencerminkan tekad bersama untuk melahirkan pewaris perjuangan Islam yang berilmu, berani dan berakhlak mulia.