Home Berita PAS Pahang

Sokong UMMAH lapor YB DAP biadab lagi

259
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 29 Okt. :: PAS Kawasan Bentong menyokong penuh tindakan Pengerusi UMMAH Pahang, Ustaz Roslan Md Esa membuat laporan polis berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan DAP Selangor bertindak biadab terhadap penjawat awam.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah berkata, tindakan Roslan itu sangat wajar memandangkan banyak insiden berkait tingkahlaku tidak beradab membabitkan wakil rakyat DAP.

“Mereka perlu cakna bahawa mereka jadi Ahli Yang Berhormat (YB) adalah dipilih oleh rakyat. Saya secara  tuntas dan tegas  nak mengingatkan kepada yang berkenaan agar jangan nak jadi samseng dengan rakyat.

“Selama ini rakyat masih lagi hormat dengan YB-YB, jangan buat rakyat hilang sabar. Ahli Dewan Undangan Negeri merupakan policy maker manakala penjawat awam pula pelaksana polisi. Sepatutnya kedua-dua entiti ini bekerjasama bagai aur dengan tebing,” ujar Khairuddin tegas.

Tambah beliau lagi, ADN tersebut perlu berhemah menyantuni penjawat awam kerana segala masalah yang timbul di kawasan beliau, mereka bertanggungjawab melunaskan.

“Amat malang pada era Perdana Menteri melaungkan gagasan ‘Keluarga Malaysia’, namun YB tersebut tidak dapat menggagasnya.

“Memang banyak insiden YB DAP bertindak biadab dengan penjawat awam. Contohnya, perang mulut antara ahli parlimen dengan penjawat awam apabila perintah mahkamah diperolehi berkaitan dengan isu tanah. Banyak lagilah yang tak dapat dihitung.

“Saya mewakili PAS Kawasan Bentong berharap agar pihak berkuasa dapat membuat penyiasatan dan mengambil tindakan drastik akan hal ini untuk membendung budaya samseng di kalangan ADN DAP tidak berulang lagi,” jelas beliau.

Terbaharu Isnin lalu, tular di media sosial video didakwa membabitkan ADN DAP Kota Kemuning, V Ganabatirau memaki hamun kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor ekoran tidak berpuas hati dengan isu banjir. Video itu didakwa turut dimuat naik di laman facebook exco terbabit.

Pada 4 Jan 2019, satu video kekecohan yang tercetus melibatkan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dengan beberapa individu di kawasan sebuah kebun di Manchis, Bentong  tular di laman sosial dan mendapat reaksi pelbagai daripada netizen.

Rakaman itu menunjukkan wakil rakyat tersebut gagal mengawal emosi dan menyatakan beliau ‘kerajaan pada masa ini’ lalu mempersoalkan tindakan individu terbabit serta meminta kerja-kerja pembersihan kebun itu dihentikan.