Home Berita PAS Terengganu

Sokong larangan vape, seru pengharaman menyeluruh demi wanita dan remaja

24
SHARE

KUALA TERENGGANU – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kerajaan Negeri Terengganu dan Perlis yang tidak lagi akan mengeluarkan lesen perniagaan bagi vape bermula Ogos 2025, sambil menggesa agar langkah pengharaman tersebut diperluaskan ke seluruh negara.

Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, langkah tegas ini amat wajar bagi melindungi kesihatan rakyat, khususnya wanita dan remaja yang semakin terdedah kepada bahaya vape.

“Peningkatan penggunaan vape dalam kalangan wanita, termasuk remaja perempuan, amat membimbangkan dan boleh memberi kesan buruk bukan sahaja dari sudut kesihatan, tetapi juga sosial dan budaya,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Menurut Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023, seramai 0.8 peratus wanita dewasa di negara ini menggunakan rokok elektronik.

Sementara itu, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 melaporkan peningkatan ketara dalam kalangan remaja perempuan 13 hingga 17 tahun yang menggunakan vape  daripada 2.8 peratus pada tahun 2017 kepada 6.2 peratus pada 2022.

“Turut menekankan bahawa kandungan nikotin dalam vape berpotensi menyebabkan ketagihan, kerengsaan paru-paru dan risiko terhadap kesihatan reproduktif wanita,” ujar beliau.

Malah, pengaruh media sosial dan gaya hidup moden didapati turut menyumbang kepada normalisasi penggunaan vape dalam kalangan wanita, terutama generasi muda.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa untuk berganding bahu menyekat penyebaran penggunaan vape melalui pendidikan dan kempen kesedaran yang berterusan.

“Kita mesti pastikan generasi akan datang bebas daripada ancaman vape dan membesar dalam persekitaran ang lebih sihat,” tambah Roslina.