Home Berita PAS Terengganu

SMUPA melonjak ke peringkat antarabangsa

40
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Mizan Underwater Photography Award (SMUPA) akan diperluaskan pada tahun 2025 dengan penglibatan peserta di peringkat global.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyertaan SMUPA bagi edisi 2024 meningkat dengan ketara kepada 125 penyertaan melibatkan jurugambar berbakat dari pelbagai negeri.

Kata beliau, ini bukan sahaja menyerlahkan keindahan lautan Terengganu, tetapi turut membawa mesej kuat tentang pentingnya pemeliharaan ekosistem marin untuk generasi akan datang.

“Menyedari kejayaan SMUPA dan berkat ilham Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dengan penuh rasa sukacita saya mengumumkan, SMUPA akan diperluaskan menjadi Sultan Mizan International Photography Award (SMIPA) pada tahun 2025.

“Dengan pelancaran SMIPA 2025 kelak, pertandingan ini akan dibuka kepada penyertaan global, Terengganu diharapkan akan mendapat tempat dan nama sebagai salah satu lokasi fotografi marin dan alam semula jadi bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan persembahan ucapan sempena majlis penyampaian hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Award (SMUPA) 2024 di Taman Tamadun Islam, di sini semalam.

Dalam majlis tersebut, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang utama.

Hadir sama mengiringi baginda ialah DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja.

Menurut Dr. Ahmad Samsuri, SMIPA 2025 nanti akan memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Kategori Budaya (Culture) yang merakam keunikan budaya, warisan, adat resam dan kehidupan masyarakat Terengganu dan rantau ini.

“Kedua iaitu Kategori Alam Semula Jadi (Nature), menampilkan keindahan landskap, flora dan fauna di daratan, dengan fokus kepada kelestarian dan konservasi alam.

“Dengan penambahan ini, SMIPA 2025 akan meliputi keindahan Terengganu dari dasar laut hingga ke daratan, menawarkan peluang lebih luas kepada jurugambar mempersembahkan kreativiti mereka,” jelasnya.

Untuk rekod, SMUPA merupakan inisiatif istimewa yang lahir daripada ilham DYMM Sultan Mizan, bertujuan memperkenalkan keindahan dan keunikan dasar laut negeri Terengganu kepada dunia.

Sejak penganjuran pertamanya, sambutan terhadap pertandingan ini amat menggalakkan, melibatkan para jurugambar dasar laut dari dalam dan luar negara sekali gus merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.