Home Berita PAS Pusat

SkimPAS Serah Cek Kepada Waris Almarhum Tuan Guru Mat Rejab di Ijtima’ Tarbawi 6.0

2052
SHARE

28 Oktober 2018, Perlis : Pada 25 September 2018 yang lalu, Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah kehilangan seorang lagi Murobbi Ummah, iaitu Almarhum Tuan Guru Ustaz Mat Rejab; Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Kedah. Bagi orang mukmin dan cintakan perjuangan, perginya seorang Ulama adalah satu perkara yang amat ditakuti kerana dicabutnya ilmu terjadi dengan diwafatkannya para ulama.

Dijelaskan dalam hadis dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash Radhiyallahu anhuma, beliau berkata, “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّـى إِذَا لَمْ يَبْقَ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا.

‘Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekaligus dari para hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan mewafatkan para ulama, sehingga ketika tidak tersisa lagi seorang alim, maka manusia akan menjadikan orang-orang bodoh sebagai pemimpin, lalu mereka ditanya, kemudian mereka akan memberikan fatwa tanpa ilmu, maka mereka sesat lagi menyesatkan orang lain.’”

Semoga Almarhum Tuan Guru Ustaz Mat Rejab ditempatkan bersama-sama dengan para solehin dan tenang di sana.

Almarhum juga merupakan pencarum SkimPAS, justeru pihak Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP) telah menyediakan satu slot khas iaitu penyerahan gimik cek manfaat kepada waris Almarhum. Penyampaian cek tersebut merupakan salah satu usaha yang dikelolakan oleh unit SkimPAS di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP).

SkimPAS merupakan Skim yang disediakan khas untuk ahli PAS termasuklah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), di mana ianya bagi menjaga kebajikan ahli terutamanya murabitun dan ‘amilin. Ianya juga termasuk perlindungan Takaful yang berpatutan dan mampu milik. Sebelum ini telahpun diwar-warkan tentang pelbagai manfaat yang diberikan kepada pencarum SkimPAS:

1. Manfaat Khairat/Kematian
• RM 10,000 (Kelayakan Umur : 18 – 69 tahun)
• RM 1,000 (Kelayakan Umur : 70 tahun ke atas)

2. Manfaat Keilatan Kekal
• RM 10,000 (Kelayakan Umur : 18 – 64 tahun)

3. Manfaat Tambahan
• RM 500 : RM30 sehari elaun harian hospital / kemalangan (Maksimum 60 hari dalam setahun)

Penyerahan cek telah disempurnakan oleh Tuan Guru Presiden PAS, YAB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebaik sahaja kuliah tafsir surah Al-Mumtahanah bagi Ijtimak Tarbawi 6.0 di Masjid MATIN baru-baru ini. Cek tersebut telah diserahkan kepada Ustaz Hafizzuddin iaitu anak kepada Almarhum Tuan Guru Ustaz Mat Rejab. Turut bersama dalam majlis penyampaian cek tersebut ialah Cikgu Yusoop selaku Timbalan Pengerusi 4 Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat dan Tuan Hj Razak selaku Penyelaras Perunding SkimPAS.