Home Berita PAS Wilayah

SKIM Kifalah Ahli PAS Penghormatan Buat Pejuang Jemaah yang Telah Pergi

22
SHARE

Oleh : Muhammad Abdul Fateh

TAMAN MELAWATI, 16 Jun 2025 – Dalam suasana hiba namun penuh penghormatan, keluarga Allahyarham Muhammad Aizat Amni, bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Wangsa Maju, akan menerima sumbangan Skim Kifalah Ahli PAS (SKIMPAS) berjumlah RM10,000 daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Penyerahan mock cheque tersebut disampaikan sendiri oleh YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu merangkap Naib Presiden PAS, sebagai tanda kasih dan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam medan dakwah, media serta perjuangan anak muda PAS di Wangsa Maju.

Allahyarham Aizat, yang meninggal dunia secara mengejut pada 3 Jun lalu, dikenang sebagai seorang aktivis media sepenuh masa yang tidak pernah kenal erti lelah – menjadi suara utama dalam menyampaikan agenda Islam dan perjuangan jemaah. Kehilangannya benar-benar dirasai segenap lapisan ahli dan pimpinan.

“Beliau bukan sekadar penggerak media, tapi nadi kepada semangat anak muda di Wangsa Maju. Hari ini kita menyantuni keluarganya, moga ini menjadi saksi kasih sayang jemaah kepada pejuangnya,” ujar salah seorang pimpinan semasa majlis berlangsung.

Suasana majlis bertukar pilu apabila ahli keluarga Allahyarham naik ke pentas bagi menerima sumbangan, dengan air mata yang mengalir tenang di wajah ibunya, menyentuh hati para hadirin.

PAS terus komited memastikan kebajikan pejuang dan waris mereka terpelihara. Skim Kifalah ini bukan sekadar bantuan, tetapi tanda bahawa setiap pengorbanan untuk Islam tidak akan dilupakan.

Al-Fatihah buat Almarhum Muhammad Aizat Amni. Pejuang muda yang gugur dalam dakapan dakwah.