Home Berita PAS Terengganu

SK Bukit Jejulong juara EZBOT Malaysia Techlympics Zon Timur

3
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sekolah Kebangsaan Bukit Jejulong muncul pemenang tempat pertama dalam Malaysia Techlympics 2025 peringkat Zon Timur yang berlangsung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), hari ini.

Diwakili empat murid tahun tiga iaitu Muhammad Umar Khaliff Mohamad Sapian, Fayyadh Hakimiey Qusyairi Fauzi, Muhammad Anas Irfan Ahmad Ridhwan dan Muhammad Ammar Akram Mohd Khalidi, pasukan sekolah berkenaan dinobatkan sebagai juara kategori Pemikiran Komputasi (EZ Bot) yang dipertandingkan bagi peringkat tahap satu.

Pasukan bimbingan guru Penolong Kanan KoKurikulum, Noraini Abdullah bersama guru pembimbing, Mohd Aminuddin Ismail dan Mohd Syafiq Firdaus Azmi itu akan mewakili negeri Terengganu di Malysia Techlympics peringkat kebangsaan pada November nanti.

Wakil guru pembimbing merangkap jurulatih pasukan, Mohd Syafiq Firdaus menzahirkan rasa syukur atas kejayaan sekolah berkenaan layak buat kali kedua ke peringkat kebangsaan.

“Ini kali kedua kami sertai dan menang lagi serta berpeluang ke peringkat kebangsaan walaupun dalam kategori berlainan. Tahun lepas, kami mewakili negeri dalam kategori ‘Printer 3D’ yang disertai murid tahap dua dan mendapat naib johan di peringkat kebangsaan.

“Tahun ini kategori ‘Printer 3D’ tidak dipertandingkan jadi kami cuba pada acara lain dan rezeki murid tahap satu dalam acara baru yang dipertandingkan tahun ini.

“Kami ucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang yang menguar-uarkan pertandingan ini. Juga, kepada pihak sekolah iaitu guru besar, penolong kanan, para pentadbir dan rakan-rakan guru yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan semangat.

“Tidak lupa kepada murid-murid dan ibu bapa yang memberikan sokongan, apabila anak-anak ini sertai program ibu bapa secara terbuka memberi sokongan sama ada menerusi sumbangan dana dan meluangkan masa untuk anak ke latihan,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut, hari ini.

Tambahnya, peningkatan penyertaan sekolah rendah di Terengganu dalam acara tersebut merupakan perkembangan yang baik bagi pelajar negeri ini.

“Sekarang ini kita berada dalam era kecerdasan buatan (AI) di mana murid-murid sudah terdedah dengan pelbagai kandungan media sosial seperti YouTube dan sebagainya. Namun, ramai dalam kalangan mereka hanya menonton tanpa menyedari bahawa apa yang mereka lihat itu sebenarnya boleh diaplikasikan dalam bidang robotik dan inovasi.

“Peranan guru amat penting untuk menterjemahkan apa yang mereka tonton kepada bentuk pembelajaran yang bermakna, contohnya melalui penyertaan dalam pertandingan-pertandingan seperti ini.

“Kategori robot komputasi ini adalah asas kepada pengatucaraan yang lebih susah lagi. Ia membentuk pemikiran komputasi yang diterjemahkan dalam bentuk yang hidup.

“Murid-murid pada peringkat ini sebenarnya lebih mudah untuk dibimbing berbanding murid yang lebih dewasa. Sekali diajar, mereka cepat memahami kerana pemikiran mereka masih segar dan mudah menerima ilmu,” ujarnya.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,  Dato’ Mohammad Yusof Apdal itu melibatkan penyertaan 2,000 peserta daripada 120 sekolah dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Dalam program itu, Sekolah Kebangsaan Tuanku Fatimah dari Pahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Cheng dari Kelantan turut memenangi tempat pertama dalam kategori Cabaran Siasatan Jenayah.

Manakala, Yayasan Terengganu (YT), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai, Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa, Kelantan dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sulaiman, Bentong iaitu Nor Fatihah Mohd Nagib menerima anugerah khas atas komitmen menjayakan Malaysia Techlympics 2025.