Home Artikel PAS Johor

Sisipan Harakah Mudahkan Masyarakat Memahami Perjuangan PAS

73 views
SHARE

Muhammad Fahmim bin Azizan
9 Mac 2018

SEGAMAT – PAS kawasan Segamat telah mengambil inisiatif untuk mengedarkan sisipan Harakah kepada masyarakat setempat melalui aktiviti turun padang ke Pasar Malam di sekitar Parlimen Segamat.

Petang tadi, para pimpinan dan petugas telah hadir ke Pasar Malam Taman Yayasan yang terletak di persimpangan Segamat ke arah Kuantan bagi mengedarkan risalah sisipan Harakah kepada para peniaga dan pengunjung pasar tersebut.

Manakala pada 7 Mac pula, sisipan Harakah telah diedarkan ke Pasar Malam Buloh Kasap yang juga terletak di dalam Parlimen Segamat.

Menurut Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Parlimen Segamat, edaran yang telah dibuat mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarakat setempat.

“Sisipan Harakah yang telah disediakan sangat mudah untuk dibaca dan difahami oleh pembaca kerana bahasa dan susun atur beritanya menarik.

“Rata-rata masyarakat yang menerima risalah ini memuji tindakan PAS yang mengambil insiatif mengedarkan risalah ini untuk menjelaskan isu-isu yang sering difitnahkan kepada PAS” tambah beliau.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS berharap agar setiap PAS kawasan dapat memastikan risalah yang baik ini dapat diedarkan dengan sebaiknya khususnya kepada para pengundi.

Turut hadir dalam pengedaran sisipan Harakah ini adalah Haji Moin bin Abdul, Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Segamat, Encik Daud bin Mat Jan, Pengarah Pilihanraya PAS kawasan Segamat dan para petugas daripada Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Sebanyak 1,000 naskah sisipan Harakah telah berjaya diedarkan sepanjang dua hari pengedaran tersebut dibuat.

PAS kawasan Segamat sebelum ini telahpun mengadakan program pengedaran risalah penerangan sejak beberapa bulan yang lalu sebagai usaha untuk menyampaikan maklumat kepada pengundi dan dengan terbitnya sisipan Harakah ini telah membantu memudahkan urusan di peringkat kawasan.

Sekian.