Home Berita PAS Pahang

Siri 8 – The return of AKU DAN PAS

1447
SHARE

(Masjidil Haram, Mekah)

Nabi Ibrahim adalah seorang Rasul yang diuji dengan ujian yang sangat hebat, sewaktu ia membina Kaabah ia berdoa semoga Allah swt jadikan bumi Mekah sebagai bumi yang berkat. Sehinggalah kehari ini Mekah dan Kaabah tidak pernah sesaat pun tidak dikunjungi manusia yang datang dari segenap pelusuk dunia.

Mereka datang untuk melakukan ibadah Haji atau pun Umrah, memenuhi tuntutan Iman dan Taqwa, mereka datang demi memburu cinta Allah swt dan menghayati pengorbanan yang ditunjuki oleh Nabi Ibrahim dan isterinya Hajar juga Nabi Ismail AS yang sebahagian rukun dan kerja haji dan umrah adalah rakaman dari pengorbanan mereka.

Mereka berada dibumi Mekah kerana memenuhi tuntutan dan kecintaan kepada Allah swt.

Seorang yang saya kenali sangat memusuhi PAS, bila dia menyertai PAS, dia mengaku bahawa dialah yang pancitkan tayar motorsikal saya kerana marah saya berkuliah di Masjid, dia menyertai PAS selepas 10 tahun dari peristiwa itu, selepas ia sakit orang yang sangat mengambil berat tentangnya adalah jirannya yang seorang ahli PAS.

Selepas sembuh ia mula berjinak dengan PAS dan akhirnya ia menyertai PAS, selepas menyertai PAS barulah ia mula solat berjamaah, hadir ke majlis ilmu, ceramah dan program-program tarbiyyah PAS, ekoran itu juga perubahan berlaku kepada isterinya, dah bertudung dan hadir kekuliah muslimat, anak-anaknya yang masih bersekolah dihantar ke Pondok, Maahad dan pusat pengajian agama.

Kehidupannya berubah sebagaimana wajahnya juga, dari kelam sehinggalah menjadi jernih, terpancar cahaya agama pada wajahnya, begitulah perubahan yang berlaku, bukan dia sahaja malahan ramai yang begitu, termasuk diri saya sendiri, rasa cinta pada agama berputik dan berbuah apabila saya bersama ahli-ahli PAS yang sentiasa mendorong saya untuk belajar dan memperjuangkan Islam.

Sejak dahulu dan sehingga kini pun, orang menyertai PAS kerana agama, bukan kerana isu, dendam atau inginkan kekayaan atau apa jua selain dari Islam, kalau ada yang begitu, pasti tak lama, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allahyarham Ust Fadhil Nor “PAS bukan tempat untuk orang memburu dunia”. Kalau ada orang kata dia masuk PAS kerana ingin menjadi kaya mungkin orang ini “tertelan pil kuda”.

Inilah keberkatan apabila sebuah parti itu ditubuhkan atas dasar agama, maka yang menyertainya pun juga kerana agama, yang masuk didalamnya adalah manusia yang membawa cita-cita untuk membantu perjuangan Islam, kerana itulah ahli PAS sanggup berkorban harta dan tenaga, semuanya kerana cinta kepada Islam, itulah keberkatan.

YB Ustaz Rosli Abdul Jabar
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang