Home Berita PAS Terengganu

Simulasi Haji Cilik hidupkan suasana ibadah dikalangan kanak-kanak

7
SHARE

HULU TERENGGANU – Penganjuran program Simulasi Haji Cilik mencerminkan peranan besar institusi pendidikan Islam seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang membentuk generasi berakhlak dan celik agama sejak usia awal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata usaha murni itu wajar dipuji kerana membentuk kesedaran rohani dalam kalangan anak-anak melalui pengalaman langsung yang menghidupkan suasana ibadah.

“Hari ini kita berada di Dataran Ajil, macam Dataran Mekah juga untuk simulasi haji kanak-kanak PASTI. Walaupun haji ini biasanya untuk orang dewasa, tapi pendedahan dari sudut ilmu dan penghayatan kita buat ini untuk menunjukkan mood, aura dan gelombang ibadah dalam kalangan kanak-kanak. Terbaik PASTI…

“Program anjuran PASTI Ajil itu bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada anak-anak mengenai ibadah haji, bahkan menyemai rasa cinta kepada agama sejak kecil melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan berkesan,’ katanya ketika ditemui.

Seramai 246 orang murid daripada empat buah Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil telah menyertai Program Simulasi Haji Cilik yang diadakan secara tahunan.

Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu berakhir pada jam 10.30 pagi turut melibatkan aktiviti tawaf, saie, melontar jamrah dan bertahlul dalam suasana santai namun sarat dengan penghayatan ibadah, serta disambut baik oleh ibu bapa dan komuniti setempat.

“Ini yang kita kata, PASTI merupakan satu institusi pendidikan daripada kecil sampai ke besar dan terus berkembang. Tahniah kepada guru-guru dan pihak pengurusan PASTI atas usaha berterusan ini,” ujarnya lagi.