Home Berita PAS Terengganu

‘Simpan Tag Biru, Boleh Tuntut Ganti Rugi Benih Padi Rosak’

1
SHARE

KUALA TERENGGANU – Para pesawah di Terengganu diseru agar menyimpan penanda kertas berwarna biru yang terdapat pada guni benih padi sah bagi membolehkan mereka membuat tuntutan ganti rugi sekiranya berlaku masalah kualiti benih seperti tidak bercambah atau isu padi angin.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim menegaskan, pesawah mempunyai hak untuk menuntut daripada syarikat pembekal sekiranya kualiti benih padi yang diterima tidak menepati label.

“Pagi ini, saya terima aduan daripada pesawah berkaitan kualiti benih padi. Sebab itu penting bagi para petani, sebelum rendam guni benih padi, ambil penanda kertas dan simpan. Jangan rendam sekali,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.

Menurut Dr Azman, tag biru itu mengandungi maklumat penting seperti syarikat pembekal, varieti padi dan kawasan sawah padi benih diambil yang merupakan bukti kukuh bagi tuntutan.

“Sekiranya ada apa-apa masalah berkaitan benih ini, petani ada hak untuk tuntut balik dengan syarikat pembekal. Kalau syarikat tak nak ganti, sila maklumkan kepada saya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Dr Azman turut menjelaskan bahawa bidang kuasa pembekalan benih padi sah adalah sepenuhnya di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan bukannya di bawah kuasa kerajaan negeri.

Beliau mendedahkan bahawa ketika ini, tiada satu pun syarikat dari Terengganu yang memegang lesen sebagai pembekal benih padi sah walaupun negeri itu mempunyai Loji Pemprosesan Benih Padi di Ajil, Hulu Terengganu.

“Untuk info dalam Malaysia, ada 12 syarikat pembekal benih padi sah yang dilesenkan Kementerian Pertanian. Tiada satu pun dari Terengganu,” jelasnya.

Katanya, situasi ini menyaksikan bekalan benih padi Terengganu terpaksa melalui rantaian logistik yang panjang dan kurang efisien.

“Di Terengganu ada seluas 500 hektar sawah yang menghasilkan padi benih. Apabila padi benih ini dituai, ia dihantar untuk diproses oleh Syarikat Gerbang Selatan di Johor. Apabila pesawah Terengganu nak tabur benih, padi benih dibawa semula ke Terengganu,” katanya.

Beliau berharap dengan penjelasan ini, orang ramai dan pesawah dapat memahami senario dan kekangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri dalam memastikan bekalan benih padi yang berkualiti, kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa penuh Kementerian.