Home Berita PAS Terengganu

‘Silap jika tak nak sebut kafir, sebab jaga hati’ – Ustaz Azhar

127
SHARE

KUALA TERENGGANU – Menjadi satu kesilapan kepada orang Islam seandainya tidak mahu menyebut perkataan kafir kerana hendak menjaga hati orang bukan Islam.

Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus berkata, sedangkan Al-Quran dan hadis dengan jelas menceritakan serta memperincikan golongan yang dikatakan kafir.

Ujarnya, walaupun Islam menyenaraikan ciri-ciri golongan kafir namun tidak pernah berlaku orang Islam memanggil kalangan mereka yang tidak beragama Islam sebagai kafir.

“Kenapa (ada pihak) hendak marah? (perkataan) non-muslim itu Bahasa English jika diterjemahkan dalam Bahasa Arab, kafir itu membawa maksud ingkar, mereka yang tidak mahu menerima Islam sebagai agama.

“Kafir itu bukan bermakna perompak, peragut, perogol tetapi orang yang tidak mahu menerima agama Islam.

“Jadi bila kita tak nak sebut kafir kerana hendak menjaga hati (bukan Islam) itu silap, sebab selama ini orang Islam yang paling berakhlak tidak pernah panggil kafir (apabila berhadapan),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Zohor, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman (WDI) di sini hari ini.

Program tersebut turut menampilkan, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Mohd Kamaruzaman Abdullah.

Mengulas lebih lanjut, Ustaz Azhar berkata kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak tertentu seperti sengaja menyembunyikan perkara besar yang menguris hati umat Islam selama ini seperti isu stoking yang tertera kalimah Allah.

“Mengelar dan memanggil ini kena faham, al-Quran mengajar menyebut orang-orang kafir, hadis pun menceritakan orang kafir ini diazab pada pagi dan petang.

“Jika ada pihak yang menyatakan kena sebut non-muslim jangan sebut kafir nanti terasa hati, berasa hati ikut mana? kita bukan panggil depan dia pada kebiasaanya kita akan sebut nama dialah sebagai contoh Ahcong.

“Menghukum mereka sebagai kafir itu mesti kerana manusia terbahagi kepada dua golongan iaitu mukmin dan kafir,” katanya.