Home Berita PAS Wilayah

Sikap tidak peduli punca longgokan sampah di jalan raya

618
SHARE

WANGSA MAJU, 1 Jun- Sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di tepi jalan sekitar Taman Setapak Indah dekat sini, menyebabkan berlakunya pencemaran di jalan raya.

Selain mencacatkan pemandangan, ia turut menimbulkan rasa kurang senang penduduk di sini akibat bau busuk dan longgokan sampah yang menganggu pejalan-pejalan kaki.

Tinjauan Pusat Khidmat Komuniti PAS Kawasan Wangsa Maju mendapati bukan setakat sampah daripada sisa-sisa makanan, malah ada pihak peniaga sengaja melonggokkan sampah di bahu jalan.

Hal ini telah diadukan oleh wakil Pusat Khidmat Komuniti PAS Wangsa Maju ke pejabat DBKL Cawangan Wangsa Maju.

Menurut seorang pengguna jalan itu, Abdul Halim, 50, peniaga seharusnya mengambil berat kebersihan di sini kerana ia menjadi laluan orang ramai termasuk pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Wangsa Maju.

“Saya melihat mereka di sini tidak mengambil peduli soal kebersihan. Ditambah lagi, ada pihak yang bukan daripada kawasan ini sengaja mengambil kesempatan dengan melonggokkan sampah mereka.

“Mungkin pihak berkuasa tempatan khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora boleh menyediakan tempat pembuangan sampah yang sesuai bagi membendung masalah sampah tersebut dari terus berlaku,” cadangnya.

Beliau turut mengusulkan agar DBKL menguatkuasakan lagi undang-undang sedia ada kepada pihak yang tidak mengambil kisah soal kebersihan di tempat-tempah awam.

Pada masa sama, masyarakat setempat juga harus bekerjasama dengan memastikan sampah-sampah diuruskan dengan baik supaya tidak mencemarkan kawasan persekitaran kediaman mereka sendiri.